Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh, semalam mengumumkan bahawa tiada sebarang halangan untuk calon yang positif COVID-19 untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurut Abdul Ghani, borang pencalonan calon harus dihantar pada masa yang ditetapkan melalui wakil calon menerusi pencadang atau penyokong.

Selain itu, ujian saringan COVID-19 melibatkan calon juga tidak diwajibkan namun semua calon digalakkan melakukannya.

"Tiada masalah untuk mereka (calon) bertanding, asalkan mereka menghantar borang pencalonan itu pada masa ditetapkan," katanya kepada Bernama.

Pun begitu, kebanyakan netizen di media sosial dilihat memberi respon yang seakan membantah keputusan berkenaan.

Rata-rata mereka menganggap calon yang positif sepatutnya dilarang untuk bertanding.

Malah, menurut mereka, saringan sepatutnya diwajibkan memandang kos ujian kit semakin murah.

“SOP yang lebih ketat sepatutnya dipraktikan memandangkan negara kini sedang memasuki fasa endemik”.

“Wajibkan la saringan. Bukan mahal pun test kit sendiri tu. Kalau PCR pun apa salahnya. Buat pilihan raya kos mahal-maha, nak buat saringan setiap calon tak boleh. Safety come first”

“Peristiwa PRN Sabah bakal berulang..siap sedia menuju lockdown”

“Mana boleh macam tu, positif pun boleh bertanding,” tulis beberapa netizen.

Pun begitu, ada juga netizen yang cuba menjelaskan bahawa SOP tersebut tertakluk pada penamaan calon sahaja.

Mana-mana calon yang bertanding dan pada masa sama positif Covid-19 tidak perlu ‘turun padang’ dan borang pencalonan boleh dihantar melalui wakil.

“Aku tengok je mana yang komen, dah baca habis belum tu? Diorg hantar nama ikut wakil pun boleh, Itu maksudnya boleh bertanding, tuan badannya tak ada pun tak apa,” tulis seorang netizen.

Sekadar info, SPR juga telah menempatkan sebuah khemah khas di pusat pencalonan sekiranya terdapat calon yang bergejala Isnin ini.

Khemah ini akan diuruskan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama SPR.

Difahamkan, sebanyak 12,900 petugas daripada pelbagai agensi termasuk KKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan terbabit pada PRN ini.