Pelakon terkenal Hollywood, Cameron Diaz dan suami, Benji Madden dikurniakan bayi perempuan yang diberikan nama Raddix Madden.

Menerusi laman sosial Instagram, Diaz, 47, berkongsi berita gembira itu untuk tatapan umum.

“Selamat tahun baru daripada keluarga Madden! Kami sangat gembira dan bersyukur untuk memulakan dekad baru ini dengan mengumumkan kelahiran anak perempuan kami, Raddix Madden.

“Raddix telah memikat hati kami dan melengkapkan keluarga kami,” tulisnya menerusi ruangan kapsyen.

Raddix merupakan anak sulung buat pasangan tersebut yang mengikat tali perkahwinan sejak 2015.

❤️❤️❤️ @benjaminmadden

A post shared by Cameron Diaz (@camerondiaz) on

Diaz turut memaklumkan dia dan suami mahu menjaga privasi bayi perempuan mereka dan tidak akan memuat naik sebarang gambar atau maklumat mengenai cahaya mata mereka.

“Kami sangat gembira untuk berkongsi berita ini tetapi kami ingin melindungi privasi anak kecil kami.

“Oleh itu, kami tidak akan memuat naik gambar atau berkongsi maklumat lanjut.

“Apa yang boleh kami katakan adalah dia sangat comel,” tambahnya lagi.

Memetik laporan Daily Mail, bekas bintang Charlie’s Angels itu kelihatan langsing dengan mengenakan jean ‘high-waisted’ pada 22 November lalu, sekali gus membuktikan bahawa pasangan itu berkemungkinan menggunakan bantuan ibu pengganti ataupun mengambil anak angkat.

Suami Diaz, Madden, 40, merupakan seorang vokalis dan gitaris kumpulan rock popular Good Charlotte.