Hiburan
Catat 47 Juta Penonton Di YouTube, Didi & Friends Kini Di Astro Ceria
Karya animasi lagu kanak-kakak 'Didi & Friends' yang popular di laman YouTube kini boleh ditonton di Astro Ceria.
Siri yang dihasilkan sepenuhnya oleh produksi tempatan, Digital Durian Animation Studio Sdn. Bhd. itu telah mancatatkan lebih 47 juta tontonan di Youtube.
Karya animasi terbaru kerjasama Astro itu juga berazam memperkenalkan lagu-lagu tradisional rakyat kepada generasi cilik Malaysia, seterusnya membawa khazanah muzik tanah air ke persada antarabangsa.
Naib Presiden Bahagian Remaja dan Kanak-Kanak, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, berkata, keunikan ‘Didi & Friends’ terletak pada lagu-lagu rakyat yang dimainkan serta karakter-karakter animasi haiwan comel yang mampu menarik minat kanak-kanak.
“Kami berbangga dapat berkolaborasi dalam menjayakan ‘Didi & Friends’, sebuah animasi yang mengetengahkan lagu-lagu rakyat dikalangan generasi muda.
“Menerusi siri animasi ini, kami juga berazam untuk memperkenalkan khazanah muzik Malaysia ke pasaran luar negara.
“Lagu-lagu rakyat seperti ‘Lompat Si Katak Lompat’, Rasa Sayang’ dan ‘Air Pasang Dalam’ antara lagu yang menjadi kegemaran kanak-kanak,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media siri animasi ‘Didi & Friends’ bertempat di Platinum Sentral, Kuala Lumpur pada Khamis.
Sehingga kini, ‘Didi & Friends’ telah menembusi pasaran Indonesia dan Thailand dan beberapa buah lagunya telah dialih bahasa.
Dalam pada itu, pihak Astro juga mempunyai perancangan untuk menghasilkan program animasi itu dalam versi Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil dalam masa terdekat.
Lebih menarik lagi, sebuah video klip istimewa berjudul ‘Pokok Mulberry’ menampilkan anak-anak selebriti popular iaitu Mika (Nabil Ahmad), Bella (Stacy Angie) dan Noah (Yasmin Hani) bersama karakter animasi tersebut yang bakal disiarkan di Astro Ceria dalam jangka masa terdekat.
‘Didi & Friends’ akan ditayangkan di Astro Ceria (saluran 611) pada 8 Disember 2015 bermula jam 8.00 pagi.
Teks Oleh: Mya Amri
Must-Watch Video