Isteri Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam bersuara mengenai isu wanita rambut merah jambu mendera seorang kanak-kanak yang tular di media sosial semalam.

Pada hantaran yang dimuat naik Che’ Puan Besar Khaleeda di Instagram Stories, beliau sedang mengumpulkan maklumat dari pihak berkuasa dan akan memastikan pelaku tidak akan terlepas.

“Terima kasih atas keperihatinan anda semua dan berkongsi video ini kepada saya. Saya sedang mendapatkan lebih informasi dari pihak polis dan saya akan pastikan kes penderaan ini tidak akan terlepas dengan mudah!” tulisnya.

Jumaat lalu tular di laman sosial, apabila seorang pempengaruh media sosial berkongsi klip seorang kanak-kanak yang dikenali sebagai Alia telah didera dan dipukul dengan sebatang penyapu oleh seorang wanita difahamkan ibu kepada mangsa.

Sementara itu, menerusi hantaran kedua Che’ Puan Besar Khaleeda pada entri yang sama, dia menyifatkan tindakan yang dilakukan wanita berkenaan sangat berbeza dengan haiwan

“Binatang pun tidak mendidik anak nya sebegini”, tulisnya ringkas.

Terdahulu, pihak polis Kajang telah bertindak menyelamatkan seorang kanak-kanak yang dipercayai didera oleh seorang wanita di sebuah taman perumahan di Beranang, Selangor sekitar pukul 2.30 pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan, pihak berkuasa bertindak menyelamatkan mangsa selepas menerima laporan berkaitan kes penderaan dan mencederakan kanak-kanak pada hari yang sama.

“Siasatan awal mendapati kejadian disebabkan mangsa tidak suka makan nasi dan suspek memaksa mangsa untuk telan nasi sehingga termuntah selain kanak-kanak tersebut dikatakan hyper-aktif.

“Mangsa merupakan seorang kanak-kanak perempuan berusia sekitar 4 tahun, merupakan anak kepada warganegara Indonesia, di mana kelahiran mangsa tidak pernah didaftarkan dan tiada apa-apa dokumen pengenalan diri.

“Mangsa telah diserahkan kepada suspek untuk dijaga sejak bulan April 2022 kerana ibu kandungnya tidak mampu untuk menjaganya. Mangsa juga dikatakan dipukul oleh pasangan tersebut menggunakan penggantung baju, kayu penyapu dan kadang-kadang dicucuh dengan pemetik api,” ujar Zaid.

Dalam pada itu, Zaid turut memberitahu yang Polis Kajang bertindak menyelamatkan mangsa dan membuat tangkapan ke atas pasangan suami isteri berkenaan.

“Selepas menerima laporan kejadian, pihak kami telah bertindak menyelamatkan mangsa dan telah melakukan tangkapan ke atas seorang wanita berbangsa Melayu dan seorang lelaki warganegara Singapura berumur lingkungan 28 hingga 30-an di sebuah rumah di taman perumahan di Beranang, Selangor.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan dan doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan. Kes disiasat di bawah Sek 31(1)(a) Akta Kanak kanak 2001,” katanya lagi.

Pihak berkuasa meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubung mana-mana balai polis terdekat atau menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Suresh A/L Krishnan ditalian 017-433 3795.