China hari ini menolak permohonan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menjalankan siasatan semula mengenai asal usul Covid-19.

Penolakan itu dibuat selepas China mendakwa ia lebih bersifat politik berbanding kajian saintifik untuk mengetahui bagaimana virus itu bermula.

Menerusi laporan media antarabangsa, Beijing kini berdepan tekanan mengenai asal usul virus tersebut yang telah membunuh lebih empat juta penduduk dunia.

Malah, Covid-19 sudah melumpuhkan ekonomi seluruh dunia sejak mula dikesan di Wuhan.

Difahamkan, sepasukan pakar antarabangsa WHO telah berlepas ke Wuhan pada Januari lalu sebelum satu laporan fasa pertama dikeluarkan.

Walau bagaimanapun, pakar tersebut gagal mendapatkan kesimpulan kukuh bagaimana virus itu bermula.

Susulan itu, China digesa WHO untuk berkongsi data sebenar daripada kes Covid-19 yang terawal dikesan.

Pun begitu, China masih dengan pendirian mereka bahawa siasatan awal sudah mencukupi.

Malah, China beranggapan usaha data lanjut itu didorong oleh faktor politik berbanding kajian saintifik.

Sekadar info, pada lewat bulan Disember 2019, pihak berkuasa kesihatan di Wuhan, mengesan sejumlah kes penyakit paru-paru dalam kalangan penduduk dengan kebanyakan daripada mereka mempunyai sejarah berkunjung ke Pasar Makanan Laut Huanan di ibu negeri wilayah Hubei.

Penyakit paru-paru itu kemudian dikenali sebagai Covid-19 dan Wuhan merupakan bandar raya pertama di dunia yang melaporkan tentang kewujudan pandemik tersebut dan pada 19 Februari 2020, sebanyak 44,412 kes jangkitan pandemik itu dilaporkan di Wuhan dan 74,280 kes jangkitan itu berlaku di China.

Pada tarikh itu, angka kematian yang dicatatkan di Wuhan ialah 1,497 orang manakala di China ialah 2,009 orang.

Pasukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah memutuskan bahawa virus Covid-19 mungkin berjangkit dari haiwan kepada seorang manusia sebelum tersebar di Wuhan dan berlakunya wabak di pasar Huanan di bandar raya tersebut serta menjadi pandemik di hampir kebanyakan negara di dunia.

Sumber : AFP