Warga emas yang melecur dalam kebakaran yang mengorbankan isterinya di Kampung Losong Haji Su di sini,meninggal dunia pagi ini selepas tiga hari bertarung nyawa dan dirawat.

Mangsa, Jusoh Muda, 82 tahun, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6.31 pagi ini ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Md Hilman Ab Rashid berkata, dalam kejadian pada Isnin, mangsa melecur kira-kira 50 peratus pada bahagian kaki dan badan.

"Susulan kecederaan yang dialami itu, mangsa disahkan meninggal dunia pada awal pagi tadi," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Pada Isnin, seorang wanita warga emas ditemui maut manakala suaminya melecur selepas kediaman mereka hangus dijilat api.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.35 pagi itu, mangsa, Fatimah Mohd, 79 tahun, maut selepas terperangkap dalam kediaman tersebut.

Sementara itu, anak perempuan mangsa, Zailah Jusoh,dilaporkan Bernama berkata, bapanya meninggall dunia akibat komplikasi organ dalaman.

“Petang semalam ayah menjalani pembedahan menampal bahagian badan dan kaki yang melecur, selepas pembedahan selesai kami dimaklumkan tekanan darah ayah menurun.

“Ayah tidak mempunyai sebarang penyakit serius sebelum ini kecuali darah tinggi sahaja. Tetapi selepas kejadian kebakaran itu ayah mengalami masalah kegagalan paru-paru dan buah pinggang,” katanya.

Zailah 47 tahun, berkata dia dan ahli keluarga dimaklumkan bapanya dalam keadaan tenat kira-kira 6 pagi tadi oleh anak saudaranya Mohd Faiz Zamri, 22 tahun, yang menemani arwah sepanjang berada di hospital.

“Sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir kami anak-anak dan cucu sempat membuat panggilan video beramai-ramai untuk membaca Yasin dan mengajar arwah mengucap dua kalimah syahadah,” tambahnya.

Jenazah Jusoh selamat dikebumikan pada jam 11 pagi tadi di Tanah Perkuburan Makam Lama, Cabang Tiga berhampiran pusara arwah isterinya.