Malaysia mencatatkan 2,985 jangkitan baharu pandemik COVID-19 bagi tempoh 24 jam dan menjadikan angka kumulatif COVID-19 kini sebanyak 144,518 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu itu, terdapat dua kes import yang menerima jangkitan daripada luar negara.

“Kes aktif dengan kebolehjangkitan kini menjadi sebanyak 32,377 kes ,” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 di sini pada Rabu.

Bagi penularan jangkitan mengikut negeri pula, beliau berkata, Selangor masih mencatatkan negeri tertinggi pertambahan jangkitan baharu dengan 837 kes diikuti Johor (535) dan Sabah (450).

Dr Noor Hisham turut memaklumkan, terdapat pertambahan empat kes kematian baharu direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian sebanyak 563 kes.

Setakat ini, 197 kes sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 79 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Kes sembuh pula, kata beliau, mencatatkan peningkatan sebanyak 994 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh kini sebanyak 111,578 kes.

Sumber: Astro Awani