Jumlah kes baharu Covid-19 hari ini menyaksikan sedikit peningkatan.

Menerusi data dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kes meningkat kepada 5,806 kes berbanding 5,439 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka terbaru itu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,644,027.

Menurutnya, setakat tengah malam tadi, data COVIDNOW melaporkan pertambahan kadar kematian sebanyak 49 kes dengan angka kumulatifnya sebanyak 30,474 kes.

Jumlah itu juga termasuk dengan 12 kes kematian brought-in-death (BID).

“Maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my.

“Data akan dikemaskini pada jam 12:00 tengah malam setiap hari,” katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan.

Sementara itu dalam kes berasingan, sejumlah 139 individu disahkan positif COVID-19 melibatkan Kluster Persiaran Tasik yang berlaku di Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, setakat jam 3 petang tadi.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha'ri Ngadiman berkata, kes positif yang dikenal pasti terdiri daripada 114 pelajar, 15 guru dan 10 petugas.