Malaysia membuat sekatan perjalanan sepenuhnya terhadap kemasukan rakyat Itali, Iran dan Korea Selatan, berkuat kuasa Jumaat ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat pertama jemaah menteri kerajaan Perikatan Nasional pada Rabu setelah mengambil kira status semasa penularan virus COVID-19.

"Sekatan itu juga terpakai kepada rakyat asing lain yang datang dari tiga negara berkenaan atau transit di mana-mana pintu masuk," katanya.

Selain itu, sekatan perjalanan ke atas tiga wilayah di China iaitu Hubei, Zhejiang dan Jiangsu serta Hokkaido di Jepun yang diputuskan sebelum ini, masih berkuat kuasa.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (Akept) di sini, yang menempatkan 66 individu warga Malaysia dan pasangan serta anak bukan warganegara yang tiba di tanah air dari Wuhan, China pada 26 Feb lepas.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman.

Dr Adham berkata rakyat Malaysia, penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang yang tiba dari Itali, Iran dan Korea Selatan akan dikenakan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah selama 14 hari di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Langkah itu juga berkuat kuasa Jumaat 13 Mac.

Mengenai kemungkinan kerajaan melaksanakan misi ketiga ke Wuhan bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang masih terkandas di sana, beliau berkata pihaknya akan melihat cadangan dari Wisma Putra untuk keperluan itu.

Terdahulu, Dr Adham diberi taklimat mengenai operasi dan pengurusan orang di bawah pengawasan (PUS) yang ditempatkan di Akept.

Seramai 68 individu warga Malaysia, pasangan serta anak bukan warganegara dan dua pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beijing dikuarantin selama 14 hari, bermula 26 Feb lepas. Kesemua mereka dibenar pulang pada Rabu selepas disahkan negatif COVID-19.

Sumber: BERNAMA