Dalam usaha mengekang penularan virus COVID-19, Kerajaan Negeri Pahang bersetuju mengeluarkan arahan penutupan premis perniagaan lebih awal di lima daerah negeri tersebut bermula esok (Sabtu).

Difahamkan antara premis yang perlu menutup operasi bermula jam 7 malam hingga tujuh pagi itu ialah kedai serbaneka 24 jam, kedai makan dan stesen minyak.

Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, lima daerah itu ialah Kuantan, Pekan, Jerantut, Temerloh dan Bentong dengan jumlah keseluruhan kes terbaru dicatat pada Khamis ialah 32 kes.

"Penutupan ini adalah tertakluk kepada semua jenis perniagaan bermula jam 7 petang sehingga 7 pagi," katanya pada sidang media di Wisma Sri Pahang, Kuantan.

Katanya, daerah Cameron Highlands telah melaksanakan arahan penutupan premis bermula jam 7 petang sejak hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan dikeluarkan.

Tindakan ini bertujuan untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang semakin serius di negara ini.

Arahan tersebut disambut baik oleh orang ramai dan rata-ratanya memuji tindakan cepat Kerajaan Negeri Pahang.

Ada di antara warganet yang mahu negeri-negeri lain terutama yang mencatat kes tertinggi mengikut jejak langkah negeri Tok Gajah itu.

Sementara itu Wan Rosdy berharap orang ramai dapat mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan dengan kekal di rumah masing-masing bagi memastikan tiada peningkatan kes yang ketara dalam masa terdekat.

"Saya sangat berharap tiada peningkatan kes di negeri ini dengan jumlah 32 kes itu kekal untuk hari ini," katanya.

Sumber: Astro Awani