Ketika dunia sedang menaruh harapan mengenai penghasilan vaksin COVID-19, muncul pula satu berita yang tidak begitu menyenangkan.

Menerusi laporan AFP, seorang sukarelawan ujian klinikal vaksin COVID-19 yang dibangunkan Universiti Oxford telah pun meninggal dunia di Brazil, semalam.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada lelaki itu menerima vaksin berkenaan atau plasebo.

Difahamkam, sukarelawan terbabit merupakan seorang doktor berusia 28 tahun yang bertugas sebagai barisan hadapan dan meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19.

Menurut pihak berkuasa tempatan, kematian berkenaan adalah kes pertama dilaporkan dalam ujian vaksin yang dijalankan di serata dunia.

Jelas pihak itu lagi, biarpun terdapat kes kematian dicatatkan, penyelidik farmaseutikal iaitu AstraZeneca masih menjalankan kajian.

“Tiada isu keselamatan perlu dibimbangkan.

“Malah, penilaian bebas dijalankan oleh pihak berkuasa Brazil, mengesyorkan ujian itu perlu diteruskan," katanya.

Sehingga kini, kira-kira 8,000 sukarelawan telah menerima vaksin di Brazil, dan lebih 20,000 di seluruh dunia.

Peserta atau sukarelawan tersebut mestilah terdiri daripada doktor, jururawat dan petugas lain dalam sektor kesihatan yang kerap menangani virus berkenaan.

Untuk pengetahuan, Amerika Syarikat masih di kedudukan pertama dengan kes tertinggi COVID-19 iaitu 8.3 juta dengan sebanyak 222,000 kematian direkodkan.

Jumlah tersebut diikuti dengan India dan Brazil di kedudukan ketiga dan empat, masing-masing dengan 7.7 juta dan 5.3 juta kes.

Malaysia sehingga semalam mencatatkan sebanyak 732 kes baharu dengan jumlah terkumpul sebanyak 22,957 kes.

BACA: Covid-19: Kes Baharu Menurun Dengan 732 Kes, Namun Mencatat Kematian Yang Agak Tinggi, 6 Kematian Direkodkan

Sumber : AFP