COVID-19: UK Laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan

Kamaruddin Razal
Mac 24, 2020 00:47 MYT
United Kingdom melaksanakan perintah kawalan pergerakan mulai malam Isnin (waktu tempatan) susulan peningkatan penularan jangkitan COVID-19 di negara itu, lapor Astro AWANI.
Rakyat negara itu hanya dibenarkan keluar untuk membeli makanan, ubat-ubatan, atau tugasan kritikal.
"Mulai malam ini, saya berikan arahan mudah kepada semua rakyat British — anda perlu berada di rumah," kata perdana menteri Boris Johnson dalam satu kenyataan menerusi televisyen dari Downing Street.
Johnson turut mengumumkan penutupan kedai yang menjual barang bukan keperluan , taman permainan, perpustakaan dan rumah ibadat.
Selain itu, rakyat UK dilarang berhimpun lebih daripada dua orang di tempat awam kecuali mereka yang tinggal bersama.
Larangan berhimpun itu juga merangkumi acara perkahwinan dan upcara pembaptisan, kecuali majlis pengebumian.
"Anda tidak boleh bertemu kawan. Jika menerima ajakan, anda perlu menolak. Anda tidak sepatutnya bertemu ahli keluarga yang tidak tinggal di rumah anda.
"Kita akan tewaskan koronavirus ini, dan kita akan lakukannya bersama. Oleh itu, saya minta anda, di kala darurat ini, untuk tinggal di rumah, lindungi petugas perubatan kita (NHS), dan selamatkan nyawa," kata Johnson.
Perintah itu akan dikuat kuasa dan dipantau pihak polis dan mereka yang ingkar akan didenda, kata Johnson lagi.
Johnson sebelum ini telah mengeluarkan arahan menutup sekolah, pub, restoran, gimnasium, pawagam, dan teater.
Setakat jam 9 pagi pada 23 Mac 2020, sejumlah 6,650 individu di negara itu disahkan positif 335 pesakit meninggal dunia.
Untuk perkembangan COVID-19 di Malaysia, jumlah kes pesakit yang telah dijangkiti telah mencecah 1518 secara keseluruhan, setakat petang (23 Mac 2020).
159 dari jumlah itu telahpun pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar dari hospital.
Jumlah kematian pula telah mencecah 14 orang.
BACA : COVID-19: 4 Kes Kematian Dalam 24 Jam, 212 Kes Baharu
Sebagai rakyat Malaysia, mari kita sama-sama mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dari pihak kerajaan untuk menghentikan penularan wabak COVID-19 dengan segera.
Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan menggunakan sabun selama sekurang-kurangnya 20 saat, pakai topeng muka ketika perlu, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!
Sumber: Astro AWANI
#COVID-19 #Perintah Kawalan Pergerakan #UK