Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

COVID-19: Bekalan Barangan Keperluan Mencukupi - Menteri KPDNHEP

Kamaruddin Razal
17/03/2020 11:17 MYT
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan barangan keperluan adalah mencukupi dan orang ramai tidak perlu melakukan pembelian panik, lapor BERNAMA.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, beliau sudah mengarahkan kesemua 2,500 pegawai penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negara untuk turun padang bagi memastikan pasar raya mengisi semula barangan keperluan dan tidak menaikkan harga.

"Semua pengguna jangan lakukan pembelian panik. Tidak perlu beli bekalan makanan berlebihan pada Selasa," katanya.

Nanta berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembelian panik orang ramai bermula Isnin.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin mengisytiharkan Malaysia akan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mencegah penularan wabak COVID-19 yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat.

Ini pertama kali dalam sejarah, Malaysia menguatkuasakan perintah seumpama itu.

Perintah kawalan itu dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Nanta berkata, pembelian panik akan menimbulkan banyak masalah dan beliau meminta kejasama semua pihak untuk berhenti melakukan pembelian panik manakala kedai dan pasar raya perlu memastikan bekalan barangan keperluan sentiasa ada.

Ditanya sama ada kementerian akan mengehadkan jumlah barang yang boleh dibeli oleh setiap orang, beliau berkata kementerian tidak bercadang berbuat demikian buat masa ini.

"Sekiranya kami berpendapat perkara itu perlu, kami akan ambil tindakan sesuai," katanya.

Ditanya mengenai pihak yang mengambil kesempatan dengan menjual sekotak 150 unit penutup mulut dan hidung dengan harga mencecah RM150, Nanta berkata KPDNHEP akan memantau perkara itu.

"Pada masa sama pengguna juga perlu mengambil tindakan bijak. Kenapa perlu buat pembelian jika harga ditawarkan mahal," katanya.

Sumber: BERNAMA
#COVID-19 #Panic Buying #Bekalan Barangan
;