Jumlah kes baharu Covid-19 hari ini menyaksikan sedikit penurunan.

Menerusi data dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kes menurun kepada 4,087 kes berbanding 4,239 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka terbaru itu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,627,903 kes.

Menurutnya, maklumat terperinci akan dimuatnaik ke laman Covidnow: covidnow.moh.gov.my.

"Data harian laman Covidnow dikemaskini sekali gus selepas tengah malam," katanya dalam hantaran di Twitter, hari ini.

Sementara itu, menerusi pemantauan Gempak di Twitter, ramai yang mahu mengambil langkah berjaga-jaga apabila terdapat varian baru yang lebih mengerikan.

Rata-rata mereka berharap varian tersebut tidak merebak di Malaysia selain turut meminta orang ramai menjaga SOP ditetapkan.

“Allahuakbar ada 32 mutasi spike protein weh, kalau tak berjaga-jaga..”

“Minta semua cukup-cukuplah berhibur tu ya, 'omicron' dan nak mai dah ni” tulis beberapa netizen.

Sekadar info, Malaysia kini perlu bersiap siaga menghadapi ancaman 'omicron', varian baharu dari Afrika Selatan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini merujuk strain baharu Covid-19 itu sebagai B.1.1.529, sebagai Varian of Concern (VOC), mula dikesan di wilayah Gauteng, Afrika Selatan.

Varian baharu itu dilaporkan mempunyai 32 mutasi spike protein, iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada varian Delta (B.1.617) yang mencetuskan ledakan kes Covid-19 di India.

Berkuatkuasa pada Sabtu, sekatan sementara dikenakan kepada semua warganegara asing yang mempunyai sejarah perjalanan dalam tempoh 14 hari ke Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Nambia, Afrika Selatan dan Zimbabwe.