Hiburan
‘Cowboy Carter’ Bawa Tuah! Beyonce Akhirnya Menang Album Terbaik Grammy 2025
Selepas bertahun-tahun mencuba nasib, penyanyi terkenal, Beyonce mencipta sejarah tersendiri apabila Cowboy Carter dinobatkan sebaga Album Terbaik pada Anugerah Grammy ke-67 yang berlangsung di Crypto.com Arena, Los Angeles, Amerika Syarikat pada malam Ahad.
Kemenangan tersebut menyaksikan Beyonce, 44, menewaskan tujuh lagi calon lain iaitu Taylor Swift, Charli XCX, Jacob Collier, Billie Eilish, Chappell Roan, André 300 dan Sabrina Carpenter.
Ketika membuat ucapan, Beyonce mengucapkan terima kasih kepada semua pekerja belakang tabir yang membantunya menghasilkan album Cowboy Carter.
"Saya berasa sangat berbesar hati menerima anugerah ini. Sudah bertahun-tahun akhirnya berjaya saya miliki.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Grammys, setiap penulis lagu, setiap kolaborator, setiap penerbit untuk segala kerja keras yang sudah diberikan," katanya.
Bukan itu sahaja, Beyonce turut memenangi kategori Album Country Terbaik dan Persembahan Duo atau Berkumpulan Terbaik bersama Miley Cyrus menerusi lagu II Most Wanted.
Dalam pada itu, Beyonce mendahului pencalonan dengan 11 kategori, diikuti oleh Billie Eilish, Kendrick Lamar, Post Malone serta Charli XCX masing-masing tujuh.
Untuk rekod, pada 2023, Beyonce menjadi artis paling banyak dianugerahkan dalam sejarah Grammy, dengan 32 kemenangan, mengatasi mendiang konduktor Georg Solti untuk rekod sepanjang zaman.
Walaupun memenangi anugerah terbanyak sepanjang kariernya, ini kali pertama Beyonce memenangi kategori Album Terbaik dalam Anugerah Grammy.