Pesohor bola sepak, Cristiano Ronaldo bukan sahaja terus mencatat sejarah dalam lapangan sukan termasuk rekod yang dibikin dalam perlawanan Euro 2020, di luar dunia kariernya, Ronaldo juga begitu berpengaruh.

Terkini, Ronaldo memperkukuhkan pengaruhnya sebagai figura yang dikenali ramai apabila menjadi manusia pertama di dunia memiliki lebih 300 juta pengikut dalam laman sosial Instagram.

Pemain yang juga dikenali dengan panggilan CR7 ini dilaporkan mencatat rekod tersebut baru baru ini, sekali gus meninggalkan jauh manusia kedua yang mempunyai ramai pengikut iaitu pelakon The Rock dengan 246 juta orang.

Lelaki berusia 36 tahun ini juga menumpaskan populariti yang dipegang oleh selebriti Barat termasuk penyanyi Ariana Grande (244 juta pengikut) dan Kylie Jenner yang diikuti lebih 241 juta orang.

Malah, dalam lapangan bola sepak, pemain Portugal ini juga meninggalkan jauh dua rakannya iaitu Lionel Messi dengan 219 juta pengikut serta Neymar yang mempunyai 152 juta pengikut.

Menurut laporan The Sun, seperti bernilainya Ronaldo di padang, setiap satu kemas kininya yang berkaitan produk dianggarkan mencecah harga RM4.4 juta atau 900 ribu paun!

Ronaldo diketahui menjadi brand ambassador beberapa produk seperti SIXPAD Home Gym, Clear, Herbalife Nutrition, dan Nike.

Tidak hanya itu, dia juga memiliki produk sendiri iaitu minyak wangi dengan jenama CR7. Dia juga memiliki hotel yang dikenali sebagai Pestana CR7 di Portugal dan Sepanyol.



Pada Januari 2020, Ronaldo juga mencetak sejarah apabila memiliki lebih 200 juta pengikut di Instagram.

Satu satunya akaun yang memiliki pengikut terbanyak bukan sebagai individu adalah Instagram sendiri dengan lebih 397 juta pengikut.

Kredit Foto: Euro 2020