Pelakon Mawar Rashid, 26, tampil menjawab dakwaan segelintir netizen yang mendakwa dia jarang berkongsi foto bersama dua orang anak tirinya, Raden Ahmad Rayyan dan Raden Seri Raysaa Chanela di media sosial.

Menurut Mawar atau nama sebenarnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid berkata dia dan suami, Raf Yaakob tidak pernah mengetepikan dua orang anak itu.

Tambahnya, Rayyan dan Chanela tidak tinggal sebumbung kerana mereka kini menetap dengan ibu kandung.

"Saya terima banyak komen yang mempersoalkan kenapa saya tidak muat naik tentang Rayyan dan Raysaa. Ini jawapannya, pertama sekali kerana mereka tinggal bersama ibu mereka.

"Jadi, mereka tak ada kat rumah saya. Kalau giliran mereka kat rumah kitorang, semestinya kami akan masukkan mereka. Ingat saya dan Raf ni, mak bapak yang kejam ke tak nak masukkan anak yang lain.

"Keduanya, saya pun tak mahu kongsi terlampau banyak tentang mereka dan tidak perlu saya terangkan dengan lebih lanjut," tulisnya.

Sebelum itu, Mawar ada menerima beberapa komen dari pengikut yang mempersoalkan tentang anak tirinya.

"Kenapa anak yang abang dan kakak dia jarang muat naik dalam Instagram?

"Akhirnya dapat tengok diorang berenam, kalau tak berempat ja selalu.. Happy family selalu," antara komen-komen yang ditulis oleh warganet.



Dalam pada itu, tegas pelakon drama TQ Captain ini, dia tidak perlu membuktikan kasih sayangnya terhadap keluarga kepada umum.

“Apa-apapun, saya tak perlu nak beritahu semua orang tentang betapa sayangnya saya pada keluarga. Asalkan saya bahagia dengan suami dan anak-anak.

"Saya sayang mereka, Allah saja yang tahu. Jadi, tolong jangan nak menggelabah.

"Bukannya saya tak pernah kongsi langsung foto kami berenam. Cuba scroll bawah-bawah dekat Instagram saya," tulis Mawar.

Justeru, pelakon itu berharap agar orang luar tidak mudah menjatuhkan hukum terhadap wanita yang bergelar ibu tiri.

"Jangan fitnah la. Cukup-cukup la buat dosa. Jangan nak cepat hukum seorang ibu tiri.

"Jangan risau ibu-ibu sekalian, saya gembira dan Allah SWT sentiasa ada. Saya tak perlu nak buktikan apa-apa pun.

"Besar pahala mak tiri ini, tolong besarkan, tolong mendidik anak-anak, sedangkan orang di luar sana mencaci," tulisnya lagi.

Mawar dan Raf mendirikan rumah tangga pada November 2017. Kemudiannya, pasangan itu dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Raden Muhammad, 2 , dan Raden Seri Rosabella Cinta yang kini berusia sebulan.

Raf juga dikurniakan dua cahaya mata iaitu Rayyan, 10, dan Raysaa, 5 tahun, hasil perkahwinan terdahulu.