Semenjak berkahwin, perkongsian pasangan pengantin Da’i Syed dan Hana Ismail di laman sosial sentiasa menarik perhatian segelintir netizen yang ingin mengetahui tentang mereka berdua.

Bagi menjawab pertanyaan netizen yang ingin tahu kisah perkenalan mereka, Da’i Syed dan isterinya sempat berkongsi perkara itu ketika membuat siaran langsung di Instagram malam tadi.

Menurut Da’i Syed, dia terlebih dahulu memberitahu dan menunjukkan gambar Hana kepada ibunya sebelum menyuarakan hasrat untuk berkenalan dengan pengacara tersebut.

“Saya ada tanya mama dahulu… saya ada berkenan dengan seorang perempuan ini sambil tunjuk gambar inilah orangnya. Lepas itu, saya rasa malu nak berkenalan dengan dia.

“Maksudnya, macam mana saya nak (kenal). Tak kan saya nak DM, tak kan muka macam ini nak reply DM… memang tidak la kan. Tapi mama saya cakap, tanya saja la.

“Kalau dah ada tak apa la, kalau tak ada cuba la untuk berkenalan dengannya. Lepas itu, mama saya cakap cuba,” kata Da’i Syed disamping isteri tercinta.

Malah netizen juga rasa ‘bersemut’ melihat video aksi mesra Da’i Syed dengan isterinya yang dimuat naik di TikTok pendakwah dan penyanyi itu.

“Allah sweetnya pengantin baru. Retak seribu screen phone sis. Teringat masa sis baru-baru macam ini. Sweet macam belangkas.

“Tak tahu kenapa saya rasa paling setuju sangat dengan pilihan Da’i Syed ini… Hana nampak matang sangat… tumpang gembira sekali.

“Rasa nak baling saja handphone ini… semoga berbahagia ke akhir hayat,” komen netizen.

Sebelum ini, Da’i Syed pernah memberitahu dia mula jatuh cinta selepas bertemu dengan Hana di majlis ilmu yang diadakan di kediaman Umie Aida yang menjadi orang tengah antara mereka.

Untuk info, pasangan itu melangsungkan perkahwinan pada 3 Disember di Masjid Ibnu Mas’ud, Kuala Lumpur selepas mengikat tali pertunangan pada 23 Oktober lalu.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!