BERITA
Dadah 'Labubu', Dua Maut Di Pesta Songkran
Pusat Racun Ramathibodi mengeluarkan amaran mengenai dadah berbahaya dikenali Labubu atau Khanom (bermaksud makanan ringan) yang dilaporkan tersebar dalam kalangan mereka yang berparti ketika pesta Songkran.
The Nation melaporkan, dadah pil dilaporkan dihasilkan dalam bentuk watak mainan mewah popular Labubu.
Menerusi hantaran di Facebook (FB) pada 18 April, pusat itu melaporkan bahawa tiga individu yang menghadiri pesta Songkran di sini dan menggunakan dadah itu, mengalami reaksi teruk, termasuk tidak sedarkan diri, kekejangan otot, kegagalan pernafasan dan serangan jantung.
Dua daripada mereka meninggal dunia dan seorang masih berada di unit rawatan rapi.
Hasil penemuan awal mendapati dadah itu mengandungi gabungan perangsang dan depresi, yang boleh meningkatkan kesan satu sama lain secara berbahaya.
Bagaimanapun, analisis makmal masih dijalankan untuk mengesahkan bahan sebenar yang terkandung di dalamnya, kata pusat itu.
Kejadian serupa berlaku pada 2022 dengan penyebaran K Nom Phong iaitu koktel dadah maut yang menyebabkan banyak kematian di seluruh Thailand.
Pusat itu memberi amaran bahawa kes mungkin hanya sebahagian kerana kematian lain yang berkaitan mungkin masih dalam pemeriksaan forensik atau membabitkan pesakit dalam keadaan kritikal di hospital lain.
Orang ramai digesa untuk terus berwaspada, terutamanya jika rakan atau ahli keluarga mungkin menggunakan bahan berkenaan atau masih memiliki sisa dadah daripada pesta Songkran.
Pusat itu juga memberi amaran keras terhadap penggunaan bahan terlarang itu kerana ia boleh menyebabkan kematian.
Must-Watch Video