Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Dah Bersalin 16 Mei, Miera Leyana Tak Nak Kecoh-Kecoh - "Lepas 4 Bulan Baru Suami Izin Kongsi"

Amri Hassan
17/06/2021 04:25 MYT
Pelakon Miera Leyana memaklumkan telah selamat melahirkan bayi sulungnya pada 16 Mei lalu.

Bukan berniat untuk menyembunyikan berita gembira tersebut tetapi kata Miera dia lebih selesa untuk memberikan fokus kepada proses bersalin itu.

"Ini pengalaman kali pertama saya untuk bergelar ibu, jadi saya mahu semuanya berjalan lancar dan tidak terganggu dengan hal-hal lain.

"Bukannya tak nak berkongsi tentang berita baik ini tetapi kalau boleh biarlah saya melalui momen-momen itu tanpa media sosial. Saya nak fokus...

"Sampai masanya nanti saya akan kongsikan segala-galanya," katanya kepada Gempak.

Dalam pada itu, Miera yang enggan mendedahkan secara terperinci identiti bayi sulungnya turut menghormati permintaan suami untuk tidak menunjukkan wajah sehingga bayi mereka berusia empat bulan.

"Cukup empat bulan baru kami akan tunjuk muka bayi, buat masa sekarang biarlah jadi tanda tanya dahulu," ujarnya.

Pelakon filem Lebuhraya Ke Neraka itu juga bersyukur proses bersalin kali pertama itu dilalui dengan tenang bersama suami di sisi.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar walaupun ada sedikit perasaan gemuruh sebab ini kali pertama saya.

"Suami saya pun dibenarkan untuk menemani saya sepanjang proses bersalin selepas melakukan swab test dan menurut segala prosedur pihak hospital.

"Lebih tenang apabila ada suami di sisi walaupun ahli keluarga tak dibenarkan melawat, saya akur dengan situasi semasa sekarang.

"Apapun saya bersyukur proses itu berjalan lancar dan saya sekarang sudah bergelar ibu," katanya teruja.

Miera, 27, dan suami Rosland Othman berkenalan pada 2016 sebelum mendirikan rumah tangga, Julai tahun lalu.

#pelakon #Anak #Bersalin #Suami #Miera Leyana #Rosland Othman
;