Laman Utama
Dah Boleh Bekerja Tapi Masih Ada Penggiat Seni Yang Tak Mahu Vaksin, Ini Pesan Siti Nordiana…
Penyanyi dan pelakon Siti Nordiana, 37, menyarankan kepada penggiat-penggiat seni yang ingin bekerja semula untuk menerima suntikan vaksin.
Hal ini bersesuaian dengan kelonggaran yang diberi oleh kerajaan kepada industri kreatif untuk kembali aktif menjalankan aktiviti dengan prosedur standard operasi (SOP) yang ketat.
“Sebenarnya kita usaha untuk melindungi diri kita. Kalau boleh, ambil vaksin untuk keselamatan diri dan juga orang di sekeliling.
“Senang cerita beginilah. Kita fikir yang usaha kita untuk menerima suntikan vaksin ini sebenarnya demi keselamatan diri sendiri dan juga negara,” ujarnya kepada Gempak.
Bakal menyambung kembali aktiviti penggambaran bagi drama Sayap Bagimu bersama pelakon dan penyanyi Alif Satar, wanita yang akrab disapa Nana itu sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengekang penular virus COVID-19.
“Saya sudah bersedia untuk melakukan ujian calitan sebelum memulakan aktiviti penggambaran. Saya juga akan patuhi SOP yang ditetapkan kerana bimbang memikirkan keadaan anak remaja saya, Muhammad Rayyan Nakhaie,13, yang masih belum menerima vaksin.
“Sebelum ini pun saya tetap melakukan ujian sendiri menerusi kit ujian kendiri COVID-19 yang dibeli sendiri,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Nana juga bakal kembali ke studio rakaman untuk merakamkan single baharu.
Istimewanya, single tersebut bakal menampilkan rapper muda yang sedang meningkat naik, Bunga.
“Selain menyambung semula penggambaran drama dan program televisyen, saya juga akan kembali sibuk untuk merakam single baharu bersama Bunga.
“Untuk single kali ini, persembahan muziknya sedikit berbeza. Saya berharap agar peminat menyukainya,” tutup Nana.