Selepas dua tahun wabak COVID-19 menular dalam kalangan penduduk seluruh dunia, akhirnya pengacara dan pelakon Karl Shafek kecundang dijangkiti virus berkenaan.

Karl yang didiagnosis positif kelmarin berkata, sungguhpun dia disahkan mengalami COVID-19 kategori 1, namun, gejala yang dialaminya sepanjang dalam proses kuarantin sangat teruk.

A post shared by • ???? ?????? ??????? • (@karlshafek)


Kongsinya, selain hidung tersumbat, dia juga mengalami sakit tekak yang melampau, batuk-batuk serta sakit kepala yang berpanjangan sehingga berjam-jam.

“Dah booster pun sakitnya bukan main, bayangkan kalau tak booster. Saya sendiri pun tak tak boleh bayangkan.

“Hidung saya tersumbat teruk sehingga saya tidak boleh bernafas. Nak tidur pun kena meniarap. Kalau tidur terlentang, saya asyik terjaga sebab tak boleh bernafas.

“Sakit kepala dan demam pun berpanjangan. Memang saya rasa gejala-gejala yang saya alami ni menyakitkan,” katanya kepada Gempak.

Pelakon Rindu Awak 200% yang kini menjalani kuarantin kendiri di rumah itu menambah, selama ini dia sering tertanya-tanya adakah dia ‘kebal’ COVID-19 sehingga belum pernah dijangkiti virus berkenaan sepanjang dua tahun penularan.

“Sudah hampir dua tahun COVID-19 bermaharajalela, tapi sebelum ini saya sering bercakap dengan diri saya kenapa saya masih belum kena? Bukan meminta, tetapi saya cuma pelik sebab orang di sekeliling saya ramai yang kecundang.

“Bagaimanapun, COVID-19 ni juga kan bergantung pada individu. Mungkin ada masa seseorang itu menjadi yang terawal dijangkiti atau sebaliknya.

“Apa-apa pun, saya ingin nasihatkan supaya rakyat Malaysia mengambil booster bagi mengelakkan jangkitan COVID-19 dengan gejala teruk. Selain itu, jika suka dijangkiti, kita harus jaga diri dan kuarantin di rumah. Mana yang berada di luar pun sentiasa jaga SOP untuk keselamatan bersama,” katanya lagi.