Isteri kepada usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri iaitu Datin Seri Nur Shahida akui pernah terkesan dengan kecaman netizen.

Bagaimanapun kata Shahida, dia kini sudah lali dengan kecaman yang diberikan kerana situasi tersebut sering berlaku dan memilih untuk mengabaikan perkara negatif.

“Saya dahulu memang tidak boleh terima kecaman walaupun hanya perkara kecil. Jadi, saya sudah tidak kisah kerana terlalu banyak kecaman yang dilemparkan.

“Yang penting kita tahu apa yang kita lakukan dan tidak keterlaluan. Jika bercakap soal berpantang, walaupun keluar ketika dalam tempoh tersebut namun tidaklah terlalu lama.

“Malah, saya juga masih berpantang makan, berurut, bertungku seperti biasa dan semuanya dibuat. Cuma saya hanya keluar beberapa jam atas tuntutan kerja,” ujarnya.

Shahida ditemui Gempak pada Majlis Kesyukuran dan Aqiqah serta Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kota Damansara pada Sabtu.

Mengulas mengenai berpantang, Shahida menjelaskan setiap individu mempunya cara mereka tersendiri.

“Bagi saya, setiap individu mempunyai kehidupan berbeza. Ada orang boleh duduk di rumah, cuma pada saya, perlu keluar bekerja. Bergantung kepada keadaan masing-masing.

“Bagi saya, kita hanya perlu mengikut logik akal, mengikut kesesuaian dan keselesaan tubuh masing-masing.

“Saya sudah enam kali melahirkan anak, jadi saya sedia maklum apa yang boleh dan tidak boleh dengan badan saya.

“Contohnya ketika anak sulung dan kedua dulu, saya tiada pembantu rumah jadi semua saya uruskan. Jadi sekarang pun saya masih begitu kerana bagi saya duduk saja pun tidak bagus.

“Paling penting jaga pemakanan, gaya hidup kita dan bersenam. Itu yang buat kita sihat bukan hanya kena berpantang sahaja," jelasnya.

Terdahulu, Shahida menjadi mangsa kecaman apabila netizen mendakwa dia tidak mengikut cara berpantang dengan betul selepas melahirkan anak keenamnya pada 3 April lalu.

Untuk rekod, Aliff mendirikan rumah tangga dengan Shahida pada Ogos 2007.

Pasangan ini dikurniakan enam cahaya mata iaitu Ammar Ahyan, Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham, Yusoff Al Qardawi, Raudah Arshiyah dan Luqman Al-Hakim.