Hiburan
Dah Macam Harga Kereta, Benarkah Hobi Berbasikal Untuk Orang Kaya Saja? Ini Respon Selebriti Malaysia!
Aktiviti berbasikal bukanlah satu cabang sukan yang asing di negara kita.
Malaysia sendiri telah menjadi tumpuan pelumba basikal seluruh dunia sejak Tour de Langkawi diadakan setiap tahun bermula 1996.
Namun, populariti sukan ini dilihat semakin menjadi kegilaan apabila ramai yang mula 'berjinak-jinak' mengayuh basikal.
Ini terbukti apabila di media sosial saja, ramai yang telah mula aktif beraksi di laluan-laluan tertentu.
Ibarat satu platform 'networking', pengaruh berbasikal ini tersebar daripada seorang individu kepada satu individu yang lain dan akhirnya ia menjadi komuniti yang semakin besar.
Malah, pengaruh yang dibawa oleh selebriti terkenal juga memain peranan yang cukup besar dalam pertambahan peminat aktiviti sukan ini.
Antara yang kerap dilihat di media sosial adalah Alif Satar, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Shaarnaz Ahmad, Shukri Yahaya, Hairul Azreen, Adrian The dan beberapa lagi pelakon filem PASKAL The Movie.
Tidak kurang juga beberapa selebriti yang baru terjebak dengan sukan ini seperti Radin, Nabila Razali dan Zizan Razak.
Betul Ke Untuk Orang Kaya?
Sebut saja tentang hobi berbasikal, perkara utama yang selalu dikaitkan adalah harganya. Benarkah sukan berbasikal ini memerlukan modal yang besar?
Antara contoh terdekat adalah harga basikal penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Wargamaya pernah 'menggali' harga kelengkapan basikalnya yang dikatakan jauh lebih mahal daripada sebuah kereta.
Malah, rata-rata netizen sebelum ini terkejut apabila mendapati harga tayar basikal tersebut hampir sama dengan nilai sebuah kereta Proton Saga.
Jadi persoalannya di sini adakah berbasikal membabitkan kos yang tinggi? Adakah hobi ini hanya untuk orang yang kaya raya semata?
Gempak sempat mendapatkan pendapat beberapa selebriti Malaysia yang menjadikan aktiviti ini sebagai hobi.
Ini antara jawapan mereka.
#1 Radin
Punyai pendapat sendiri, penyampai radio Era ini menyangkal dakwaan berkenaan.
Menurut pemilik nama Radin Amir Affendy ini, pemilihan jenis basikal sebenarnya terpulang kepada individu, sama ada mahu membeli yang mahal atau murah.
Jelas Radin, basikal ini mempunyai banyak jenis dan fungsi yang tertentu.
"Ada yang sesuai untuk laluan berbukit tidak kurang juga yang 'all rounder'. Basikal ni pula banyak jenis dan jenama.
"Saya tak nafikan ada model agak 'keras' tapi itu semua ikut bajet masing-masing. Kalau nak tahu, saya sendiri belum ada basikal sendiri pun dan hanya pinjam kawan punya.
"Saya masih tercari-cari dan mengira-ngira bajet yang sesuai. Jadi tohmahan orang ramai kata basikal ni untuk orang kaya tu kurang tepat," katanya.
Tambahnya, dia juga baru berjinak dalam dunia berbasikal sejak tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Secara jujurnya saya memilih untuk berbasikal sebab nak sihat. Berat badan dah naik sejak PKP, nak main bola pun tak boleh jadi saya fikir basikal paling sesuai," katanya.
#2 Hairul Azreen
Menurut bintang filem Wira ini, tanggapan dan persepsi orang ramai sepatutnya patut diubah.
Hairul berkata, di pasaran terdapat banyak jenis basikal yang dijual dengan harga yang mampu milik.
“Berbasikal ni baik untuk kesihatan dan apa yang bagusnya, kita juga dapat lebih enjoy luangkan masa dengan rakan-rakan dan pada masa sama menikmati pemandangan sepanjang laluan trek,” katanya.
Jelas Hairul, basikal ini boleh dikatakan sebagai hobi jangka masa panjang.
“Kita beli sekali je. Minat berbasikal ni juga kita kena ikut pada kemampuan, macam beli telefon.
“Kalau mahal tapi kita minat kumpul sikit-sikit, dua tiga bulan dapatlah beli,” katanya.
#3 Nabila Razali
Penyanyi Nabila Razali tidak menafikan 'harga' untuk sukan berbasikal tidaklah murah.
Namun, menurut Nabila atau lebih mesra disapa sebagai Bella, bajet untuk membeli basikal haruslah mengikut kemampuan sendiri.
“Kita boleh ikut kemampuan, macam saya pun bukanlah orang kaya. Tapi saya beli basikal pun ikut bajet sendiri.
“Orang luar sana yang nak beli boleh je beli. Jangan jadikan duit itu sebagai pengukur tanda kita untuk tidak berbuat sesuatu.
“Kalau bajet rendah boleh rujuk staf kedai basikal. Mereka pun boleh suggest mengikut bajet.
"Jadi tak betullah basikal ni untuk orang kaya je, semua orang boleh berbasikal, semua orang mampu beli cuma kena ikut bajet masing-masing,” katanya.
Jelas Bella, hobi berbasikal ini baru diterokainya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan oleh kerajaan.
“Bukan pengaruh siapa dan tidak ikut trend pun. Saya beli dan terus start berbasikal. Semuanya untuk kesihatan,” katanya.
Berapa pun bajet anda sebenarnya ia terpulang kepada individu itu sendiri.
Ada yang tidak kisah bermula dari bawah, tidak kurang juga yang sanggup keluar duit lebih untuk barangan yang berkualiti tinggi.
Tepuk dada tanya selera. Apa yang penting, berbasikal ini sebenarnya memang bagus untuk kesihatan, khususnya stamina dan mengurangkan berat badan.
Namun, jika basikal anda bernilai ribuan ringgit, pastikn ia disimpan dengan selamat bagi mengelakkan kecurian berlaku.