Pelakon Putra Amaris kini sibuk dengan perniagaan tart telur dibawah jenama ‘Amaris My Tart’ selepas tidak lagi bekerja dengan usahawan kosmetik Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida (DSV).

Amaris ketika ditemui Gempak berkata, dia baru sahaja memulakan perniagaan kecil-kecilan tersebut sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, sambutan menggalakkan daripada orang ramai membuatkan dia teruja dan bersemangat untuk terus memperluaskan lagi jenama ‘Amaris My Tart’.

Terkini, ‘Amaris My Tart’ sudah berada di pasar raya Rosyam Mart dan dibawa ke festival beli belah Star Vendor, selain beroperasi secara atas talian di media sosial Instagram dan Facebook.

“Terima kasih kepada yang sudah menjadi pelanggan tart telur ‘Amaris My Tart’ dan memberi sokongan berterusan.

“Alhamdulillah, ramai yang kata sedap dan untuk pengetahuan semua tart telur ini homemade dan kami ada jual yang sudah siap dibakar dan frozen.

“Sekarang ini selain sibuk dengan perniagaan ini, saya juga seimbangkan masa untuk bersama keluarga dan anak,” katanya.

Tambahnya lagi, produksi ‘Amaris My Tart’ juga sedang menjalin usahasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia Sdn Bhd (MDEC) untuk memberi peluang kepada orang ramai yang berminat untuk memasarkan tart telurnya itu.

Ditanya daripada mana munculnya minat berniaga, Amaris memberitahu pengalaman tersebut dikumpul ketika bekerja dengan DSV.

“Saya berterima kasih kepada DSV kerana banyak memberi ilmu tentang dunia perniagaan dan pemasaran.

“Insya-Allah ilmu tersebut akan saya praktikkan dalam perniagaan ‘Amaris My Tart,” katanya.