Usahawan kosmetik popular Datuk Seri Vida meluahkan rasa kecewa apabila kedai anaknya, Cik B disihir sehingga memberi kesan kepada kehadiran jumlah pelanggan.

Menurut Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 50, dia menyaksikan sendiri kedai Cik B yang menjual pelbagai makanan ringan dan air boba dahulunya sentiasa penuh dengan pelanggan kini menjadi sunyi sepi.

Tambahnya lagi, hal ini disebabkan oleh pengunjung yang tidak nampak di mana kedudukan kedai Cik B walaupun ia dibuka hampir setiap hari.

“Kedai Cik B yang sangat popular orang datang dekat Jelapang tapi orang cakap sihir, saya tak percaya. You bayangkan seolah kedai saya orang nampak tutup dan ada orang cakap tak nampak,” ujarnya menerusi satu hantaran video di laman Instagram.

Jelas Vida lagi, terdapat beberapa batang pokok pisang yang terletak di sebelah kedai Cik B dikhuatiri telah disihir dan diletakkan benda-benda jahat yang mempengaruhi pandangan mata pengunjung.

Susulan daripada penemuan tersebut, dia bertindak menebang pokok pisang terbabit.

“Saya pergi berubat, orang cakap ada yang letak pokok pisang di tepi kedai saya. Orang kata letak kat pokok pisang lepas tu orang cakap dekat pokok ada gantung pocong, polong ke apa semua.

“Ni tebang pokok pisang sebab buang sial. Siapa yang dajalkan aku, nak buang sial. Aku tebang, cantas pokok pisang ni,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Vida memaklumkan dia mengenali siapa yang menghantar sihir berkenaan namun mengambil sikap berdiam diri bagi menjaga aib.

“Inilah orang kata berniaga orang Melayu dengki. Ini bukan masalah dengki apa tau, dia nak tengok saya jatuh. Orang ni saya taknak lah cakap siapa tapi walaupun saya tahu, tapi biarlah.

“Saya tak mahu aibkan orang, biarlah. Ini bukan content, kedai saya jadi sendu, orang tak nampak, bukan sebab orang tak nak datang tapi orang tak tahu kat mana,” ulasnya.

Sekadar info, kedai Cik B kini mempunyai tiga cawangan di serata Semenanjung Malaysia.

Sehingga kini, perkongsian tersebut telah menerima hampir 200,000 tontonan daripada pengikutnya.