Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo menafikan dakwaan sesetengah pihak menyatakan kerajaan mengabaikan pembangunan rangkaian 3G dan 4G apabila terus beralih kepada rangkaian 5G.

Menurut Gobind, orang ramai perlu sedar untuk membangunkan rangkaian secara meluas terutamanya membabitkan keseluruhan kawasan di sesebuah negara memerlukan masa tertentu. Selain itu ia juga membabitkan kos yang agak tinggi.

"Tanggapan kononnya kerajaan tidak menaik taraf rangkaian 3G dan 4G tidak benar sama sekali. Sehingga kini kerajaan telah berjaya membangunkan infrastrukur 4G secara meluas dan pada masa sama menurunkan kos pembelanjaan.

"Malah ada masa sama kelajuan juga telah berjaya ditingkatkan," katanya.

Menurutnya, Malaysia kini bergerak secara dua hala iaitu menaik taraf 4G dan pada masa sama membangunkan teknologi 5G.

“Saya lihat negara serantau sudah pun memulakan teknologi 5G dan kita harap dapat laksanakan dalam tempoh terdekat. Hujung tahun ini kerajaan akan meniliti laporan penuh daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebelum memulakan 5G secara rasmi di Malaysia,” katanya ketika ditemui pada majlis lawatan 5G Malaysia Showcase di Kompleks Perbadanan Putrajaya sebentar tadi.

Bagi anda yang mahu menyaksikan pameran 5G ini boleh berkunjung ke Kompleks Perbadanan Putrajaya pada Sabtu dan Ahad ini.



Pameran 5G ini akan dibuka seawal 10 pagi hingga 6 petang.

Menerusi pameran ini, anda akan lihat lebih banyak kegunaan dan fungsi sebenar 5G yang bakal diterapkan dalam kehidupan harian. Paling menarik adalah penggunaan hologram apabila membuat panggilan.