Pendakwah bebas Da’i Farhan memohon supaya orang ramai khususnya beragama Islam bermuhasabah diri dan memperbaiki kekurangan ketika Ramadan.

Menurut Da’i Farhan atau nama sebenar Nik Ahmad Farhan Nik Muhamad, dia juga mendoakan supaya sesiapa saja yang dahulunya pernah bertudung dan kini menanggalkan hijab supaya kembali ke pangkal jalan.

Jelasnya, dalam Islam, kita haruslah saling nasihat-menasihati dan sentiasa lapang dada.

“Kena lapang dada kalau orang nasihat, moga kita sedar dan tidak hanyut. Sama-sama kita muhasabah.

"Mudah-mudahan diberikan hidayah semua sekalilah. Nasihat ini kepada sesiapa sahaja untuk kembali ke pangkal jalan dan berada dalam rahmat Allah.

"Allah maha pengampun, saya sendiri pun ada kekurangan semoga kita semua diampunkan dosa. Jadikan bulan Ramadan sebagai madrasah tarbiyah untuk didik diri kita jadi lebih baik," katanya.

Tambahnya, dia juga mendoakan sesiapa saja yang belum bertemu jodoh atau mendapat zuriat supaya tercapai impian tersebut.

“Moga kita dirahmati, mudah-mudahan dijodohkan baik-baik, zuriat baik. Teruskan berdoa dan berikhtiar.

“Ramadan kali ini kita semua dapat melakukan ibadah dan aktiviti di masjid selepas dua tahun kekangan akibat pandemik Covid-19.

“Satu nafas baru, rahmat Ramadan,” katanya.

Da’i Farhan ditemui ketika acara perlawanan badminton amal dianjurkan pihak pengurusan Surau Al-Abidin di Petaling Jaya, kelmarin.

Menerusi acara itu, kutipan derma dan sumbangan turut dibuka kepada orang ramai untuk membantu membaik pulih surau tersebut.

Sumbangan boleh disalurkan di akaun bank yang tertera di poster di bawah.