Hiburan
"Dalam Kehidupan Sebenar Saya Pemalu..." - Amir Nafis Akui Susah 'Jual Diri'
Pelakon yang sedang membina nama, Amir Nafis akui dirinya seorang yang pemalu di luar set penggambaran.
Menurut Amir, perkara itu juga menjadi sebab mengapa namanya tidak naik dengan cepat dalam industri hiburan tempatan.
"Saya seorang yang introvert (pemalu) dalam kehidupan sebenar, saya libatkan diri dalam dunia lakonan inipun sebagai satu cara untuk menghilangkan rasa malu.
"Saya rasa perkara ini turut menjadi sebab mengapa nama saya tidak naik dengan cepat dalam industri hiburan," ujarnya.
Amir berkata demikian ketika ditemui di lokasi penggambaran filem terbaru lakonannya iaitu Talbis Iblis di Hatter's Castle, Pulau Carey, Klang semalam.
Tambah Amir, dia juga merasakan dirinya belum cukup ilmu untuk menjadi seorang pelakon yang dikenali ramai.
"Saya masih baru dan belum cukup ilmu untuk menjadi seorang pelakon popular.
"Apa yang penting, saya mahu tonjolkan bakat dahulu kerana populariti bukanlah fokus utama saya," tambahnya.
Selain Amir, Talbis Iblis dibintangi oleh Nasha Aziz, Zul Ariffin dan ramai lagi.
Talbis Iblis arahan Kabir Bhatia dan diterbitkan oleh Infinitus Productions itu dijangka menjengah pawagam penghujung tahun ini.
Must-Watch Video