Luahan seorang wanita dipercayai isteri kepada Allahyarham Dr Ali Noor yang meninggal dunia ketika bertugas baru-baru ini telah mencetuskan rasa sebak dalam kalangan warga maya.

Luahan tersebut dibuat menerusi satu posting di Facebooknya, hari ini.

Menurut wanita dikenali sebagai Asilah Alqarny, sejak kisah kematian suaminya itu viral dia menerima banyak kiriman doa daripada orang ramai.

Walaubagaimanapun, menurutnya dia juga mahu menjelaskan beberapa perkara kurang tepat mengenai kematian suaminya itu.

“Beribu-ribu orang share dan doakan dia, Alhamdulillah.

“Cuma maklumat kurang tepat sebab kematian. Dia meninggal di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana acute respiratory distress bukan sebab covid/kepenatan bertugas melawan covid.

“Memang dia banyak terlibat dengan aktiviti jemaah tabligh. Periksa pesakit percuma semasa ijtimak tabligh, tidak berkira kerja dengan kawan kawan dan dia antara yang suka ziarah sahabat/saudara sakit.

“Ramai yang mesej Dr Ali antara orang yang pertama melawat apabila kawan tak sihat,” katanya.

Jelasnya, arwah suaminya juga banyak bersedekah walaupun sedikit.

“Semasa ibunya masih ada, banyak memuliakan dan berbakti kepada ibu.

“Setiap kali beli lauk untuk keluarga, mesti akan belikan lauk yang sama untuk arwah emak dia semasa hidup.

“Mak nak ke klinik atau rawatan memang dia akan usahakan cuti untuk berkhidmat kepada mak dia.

“Sehingga mak dia di diagnose lung cancer pada August 2018 sanggup ambik cuti separuh gaji untuk jaga emak dia. Sehingga ke akhir hajat mak dia, dia antara yang ajarkan mak kalimah syahadah.

“Damailah disana wahai suamiku,” katanya.

Posting berkenaan kemudian menerima respon ratusan pengguna Facebook yang menitipkan doa untuk arwah suaminya.

Rata-ratanya memohon supaya dia terus cekal dan tabah menghadapi ujian.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan Dr Ali Noor meninggal dunia bukan disebabkan terlampau penat dengan bebanan kerja.

Menurut sebuah entri yang dimuat naik di Facebook, KKM menyatakan arwah dimasukkan ke sebuah hospital kerana mempunyai penyakit lain.

BACA: Dr Ali Masuk Hospital Disebabkan Penyakit Lain, Bukan Sebab Penat - KKM