Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan Dr Ali Noor meninggal dunia bukan disebabkan terlampau penat dengan bebanan kerja.

Menurut sebuah entri yang dimuat naik di Facebook, KKM menyatakan arwah dimasukkan ke sebuah hospital kerana mempunyai penyakit lain.

"Allahyarham Dr Ali Noor telah pulang ke pangkuan Ilahi lewat malam kelmarin (18 Januari 2021).

"Beliau merupakan seorang Pegawai Perubatan KKM yang amat disenangi oleh rakan-rakan sekerja, pesakit dan masyarakat setempat beliau.

"Adalah dimaklumkan bahawa ujian COVID-19 buat Allahyarham Dr Ali Noor adalah negatif. Beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak awal Disember 2020 disebabkan penyakit lain dan telah menjalani beberapa sesi rawatan," tulisnya.

Justeru, pihak KKM memohon agar semua pihak menghentikan membuat sebarang spekulasi bagi menghormati ahli keluarga arwah.

"Bagi menghormati jenazah serta ahli keluarga Allahyarham Dr Ali Noor, KKM memohon agar mana-mana pihak tidak membuat spekulasi mengenai kes beliau.

"Marilah kita sama-sama memanjatkan doa dan peringatan buat arwah Dr Ali Noor. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman," tulisnya lagi.

Sebelum ini, Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) melaporkan seorang doktor yang bertugas sebagai barisan hadapan (frontliner) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meninggal dunia, kelmarin.

Menerusi hantaran itu, SPJM turut berkongsi foto terakhir sebelum arwah jatuh sakit kerana bebanan kerja dan juga disebabkan tidak mendapat rehat yang secukupnya sepanjang bertugas menangani Covid-19.

BACA: Terlalu Penat & Letih, Doktor (Frontliner) Meninggal Dunia - "Beliau Tertidur Ketika Bertugas & Pengsan"