Mempunyai pengikut sendiri di laman sosial, vokal penyanyi baru yang bernama Razak A'ai ini sering disamakan dengan Louis Armstrong.

Selain itu, ada juga peminat yang memberikan gelaran Cakra Khan Malaysia kepada jejaka kelahiran Kuching, Sarawak ini.

Menurut lelaki berkulit sawo matang ini, jolokan itu diberikan oleh sejumlah besar pengikutnya yang biasa melihat persembahan Razak, sama ada persembahan di jalanan, saluran media sosial seperti YouTube, Instagram, Twitter mahupun Facebook.

"Mengenai vokal saya yang sering disamakan dengan Cakra Khan dan Louis Armstrong, saya optimis dalam menyantuni kesamaan itu sebagai satu kelebihan.

"Saya anggap gelaran yang diberikan peminat sebagai bonus tetapi saya berharap tidak dibayangi sesiapa kerana saya mempunyai kelebihan dan identiti yang tersendiri," katanya.



Muncul dengan lagu yang berjudul Aku Setia, artis naungan Todak Music ini pernah muncul dengan sebuah single sebelum ini.

"Sejujurnya, saya pernah muncul dengan sebuah single, namun ia kurang menjadi. Malah kehidupan sebagai anak seni sangat mencabar.

"Kemudian, saya mendapat tawaran daripada Todak Music. Alhamdulillah, kini saya muncul dengan Aku Setia dan lagu ini merupakan ciptaan saya sepenuhnya.

"Selain menyanyi, saya juga mahu mencipta nama sebagai pencipta lagu serta lirik. Mungkin suatu hari nanti, saya diberi peluang berkolaborasi dengan penyanyi tempatan menghasilkan lagu buat mereka.

"Selain dapat bekerjasama dengan komposer terkenal tempatan, bertukar-tukar idea menghasilkan sebuah karya yang diterima ramai," katanya lagi.