Tindakan penyanyi Masya Masyitah mendedahkan dirinya mendapat surat kebenaran merentas negeri dari Kuala Lumpur ke Kedah pada Aidilfitri, mengundang kemarahan warganet.

Masya menerusi laporan portal Berita Harian semalam (Rabu) memberitahu, kebenaran tersebut diperolehi selepas membuat permohonan atas tiket ibu bapa sebagai pasangan jarak jauh.

Menurut Masya, dia mendapat pelepasan selama empat hari dan akan memanfaatkan masa tersebut untuk meluangkan masa meraikan Syawal dengan berkumpul bersama keluarganya di Kulim, Kedah.

Tinjauan Gempak di laman sosial Facebook BH Online mendapati, pengguna mula mempertikaikan kebenaran yang diperolehi penyanyi tersebut.

Terdahulu, penyanyi tinggi lampai itu bersyukur dapat menyambut Aidilfitri bersama bapa, abang dan adiknya apabila diberi pelepasan selama empat hari pulang ke kampung halaman, tahun ini.

Masya atau nama sebenarnya, Siti Nurmasyitah Mohd Yusoff dan ibunya dapat pulang beraya ke Kulim sejak 10 Mei lalu.

Sejak membina kerjaya seni, Masya ditemani ibunya tinggal di Kuala Lumpur.