HIBURAN

Dari Extra Ke Watak Utama, Nor Merah Kongsi Perjalanan Jadi Pelakon – “Saya Ikut Ayah Pergi…”

Umirah Halim 23/08/2025 | 00:55 MYT
Pelakon muda baharu, Nor Merah mendedahkan dirinya mula terlibat dalam dunia lakonan selepas sering menemani bapanya yang bekerja sebagai kru di lokasi penggambaran.

Menurut Nor Merah, 14, minat terhadap bidang seni itu mula timbul apabila melihat sendiri suasana di set dan akhirnya memberanikan diri mencuba nasib sebagai pelakon tambahan.

“Saya terlibat dalam lakonan ni pun sebab selalu ikut ayah saya pergi shooting. Masa tu pun saya jadi kru je.

“Lepas tu tengok orang berlakon semua, tiba-tiba terdetik nak jadi pelakon. Jadi saya cuba masuk sebagai ekstra.

“Saya cuba dapatkan watak-watak sampingan. Alhamdulillah untuk filem pertama ni, Abah Saya Uncle Mike, saya dapat pegang watak utama, iaitu watak Rashid dalam filem ni,” ujarnya ketika ditemui Gempak.

Berkongsi mengenai pelakon yang menjadi idolanya, Nor Merah menyebut beberapa nama besar tanah air.

“Banyak sebenarnya, terutamanya yang saya pernah tengok berlakon.

“Antaranya Meerqeen, Amerul Affendy dan yang terakhir Bront Palarae.

“Jadi, mereka lah idola saya,” jelasnya.

Menerusi perkembangan lain, Nor Merah bakal muncul dengan filem baharu berjudul Abah Saya Uncle Mike yang diinpirasikan daripada kisah benar.

Dalam naskhah bergenre drama yang akan menemui penonton di pawagam bermula 28 Ogos ini, Nor Merah memegang watak sebagai Rasyid, anak kedua daripada tiga adik beradik yatim piatu yang kemudian dijaga oleh seorang lelaki Cina, Uncle Mike (lakonan Andy Teh).

Filem ini diangkat daripada kisah benar Michael Tong Wai Siong, atau lebih dikenali sebagai Uncle Mike, seorang lelaki yang membesarkan tiga anak Melayu yatim piatu sejak kecil, lengkap dengan kasih sayang dan bimbingan rohani termasuk penghormatan terhadap agama Islam.

Dedikasi Uncle Mike turut diiktiraf apabila beliau dianugerahkan Anugerah Maulidur Rasul 2024 oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, atas jasa dan pengorbanannya yang luar biasa.

Terbitan Astro Shaw bersama Etika Sdn. Bhd., Abah Saya Uncle Mike mengetengahkan tema kekeluargaan, perpaduan dan kasih sayang merentas bangsa. Ia dibintangi Andy Teh bersama pelakon muda berbakat seperti Idan Aedan, Nor Merah dan Umar Shakur, dan turut menggunakan tiga bahasa, Melayu, Mandarin dan Kantonis.

Sinopsis

Rafei, anak sulung daripada tiga beradik yatim piatu, cuba melarikan diri dari rumah anak yatim yang kejam bersama adik-adiknya. Namun, mereka akhirnya terpisah. Dalam perjuangan menyatukan semula keluarga, mereka dipertemukan dengan Uncle Mike, lelaki Cina berhati emas yang mengubah takdir hidup mereka.

Filem ini menegaskan bahawa keluarga bukan sekadar pertalian darah, dan kasih sayang sejati tidak mengenal kaum mahupun agama.

#pelakon #Merah #Ekstra #Nor #Abah Saya Uncle Mike