Penyanyi Malaysia bertaraf antarabangsa Yuna berkongsi pencapaian hebatnya dalam industri seni tanahair dan dunia dalam masa sedekad.

Menerusi laman sosial Twitter, Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zara'ai memuat naik dua keping foto semasa membuat persembahan di sebuah majlis anugerah tempatan hampir 10 tahun lalu.

Sekeping lagi foto menunjukkan momen membanggakan apabila kulit album terbarunya Rouge dipaparkan di sebuah papan iklan di Times Square, New York sekitar awal tahun 2019.

Pencapaian penyanyi berusia 33 tahun itu ternyata membuka mata ramai anak-anak Malaysia yang turut sama terinspirasi daripada kejayaan yang dicapai.

Meninjau ruangan Twitter, ramai wargamaya berbangga dengan pencapaian pelantun lagu hit seperti Terukir Di Bintang dan Crush yang kini berpengkalan di Amerika Syarikat itu.

“Bangga dengan awak. Artis tak pernah lupa diri, asal usul, agama dan bangsa. Tak sombong, tak buat sebarang kontroversi atau sesuatu yang buruk pada Malaysia. Selamat berjaya untuk karier awak. Awak layak mendapat pingat jasa kerana membawa dan mengharumkan nama Malaysia ke persada antarabangsa,” puji seorang wargamaya.

“Alhamdulilah rezeki Tuhan tak siapa mampu jangka mimpi akan jadi nyata. All the best Yuna. Jangan berhenti bermimpi, jangan berhenti bekerja keras. Setiap langkah awak maju ke depan memberi motivasi kepada kami untuk sentiasa buat yang terbaik dalam hidup,” komen seorang wargamaya.

“Saya percaya pada awak Yuna. Saya percaya awak mampu capai semua impian. Foto akhir dekad itu adalah bukti kepada semua kerja keras awak. Bak kata Jackie Chan, "hard work never betrays you"”, kata seorang wargamaya.

“Tahu tak, BTS pun follow akaun Twitter Yuna. Ini menunjukkan betapa besarnya Yuna di persada antarabangsa. Saya bangga dengan awak!” kata seorang wargamaya lagi.

Kicauan pencapaian hebat Yuna itu sehingga kini telah mendapat lebih 45,000 ulang kicau serta hampir 80,000 tanda suka daripada warga Twitter.