Hiburan
"Dari Segi Vokal, Memang Mencabar Kerana..." - Remy Ishak Sertai Uji Bakat Puteri Gunung Ledang The Musical
Aktor popular, Remy Ishak telah menyertai uji bakat terbuka teater Puteri Gunung Ledang (PGL) The Musical yang diadakan oleh pihak Enfiniti Production pada Ahad.
Menurut Remy, dia terpanggil untuk menyertai uji bakat tersebut kerana PGL adalah satu karya yang berkualiti dan diketahui ramai.
Selain itu, dia sudah lama mengidamkan karakter Hang Tuah kerana watak itu berasal dari negeri kelahirannya, Melaka.
"Saya rasa terpanggil untuk menyertai uji bakat ini kerana PGL, tidak kira filem atau teaternya, karya ini sangat berkualiti dan terkenal.
"Selain itu, watak Hang Tuah pula berasal dari negeri kelahiran saya iaitu Melaka, ia menambahkan lagi keinginan saya untuk menyertai uji bakat ini, sudah lama saya idamkan watak berkenaan," kata Remy kepada Gempak.
Remy berkata demikian ketika ditemui selepas dia menyertai tiga peringkat uji bakat di pejabat pengurusan Enfiniti Production, Kota Damansara pada Ahad.
Tambah Remy, aspek vokal merupakan perkara yang mencabar jika dia dipilih untuk membintangi teater berprestij itu.
"Dari segi vokal, ia memang mencabar kerana nyanyian bukanlah bidang saya, namun jika saya berpeluang menyertai teater ini, Insya-Allah saya boleh perbaiki kelemahan saya di bengkel yang akan diadakan.
"Meskipun saya sudah lama berkecimpung dalam bidang lakonan, tetapi teater muzikal adalah satu perkara yang sangat berbeza dan ia mencabar diri saya sebagai seorang pelakon," tambahnya.
PGL The Musical yang diarahkan oleh Puan Sri Tiara Jacquelina itu akan memulakan pementasan di Esplanade, Singapura pada Jun 2020.
Pementasan di Kuala Lumpur pula akan diadakan di Istana Budaya pada Julai 2020.
Jalan cerita pementasan teater tersebut adalah berdasarkan naskhah asal hasil karya Adlin Aman Ramlie, sudah tentu ramai yang merindui watak Hang Tuah dan Gusti Putri, sama-sama kita nantikannya!
Must-Watch Video