Hiburan

Dari Seorang Mualaf, Jae Deen Berjaya Menulis 30 Juzuk Al-Quran

gempak
Kamaruddin Razal
14/01/2020
12:49 MYT
Sponsor Banner
Dari Seorang Mualaf, Jae Deen Berjaya Menulis 30 Juzuk Al-Quran
Joshua Asare atau kini dikenali dengan nama Jae Deen merupakan seorang artis terkenal di Amerika Utara di dalam genre muzik hip hop atau rap.
Jae Deen mula-mula menampilkan diri dalam industri muzik melalui duo yang menggelarkan diri mereka Deen Squad dan kini meneruskan perjuangan seninya secara solo.
Pernah berduet dengan Harris J dan ramai lagi artis terkenal dari USA dan Eropah, Jae Deen juga pernah tampil dalam sesi pembukaan konsert Justin Bieber di Kanada sewaktu bersama Deen Squad.
Ramai yang tidak mengetahui sisi lain Jae Deen dalam mengharungi perjalanan hijrah dari seorang yang dilahirkan bukan beragama Islam di Ottawa, Kanada sehinggalah memeluk Islam pada usianya 15 tahun.
Menceritakan pengalamannya memeluk Islam, Jae Deen mula mendapat hidayah dan tertarik dengan agama Islam apabila diperkenalkan dengan Surah Maryam oleh sahabatnya di kolej.
Menurut Jae Deen, persamaan yang ada di dalam kisah yang tertulis dalam surah Maryam berkaitan kelahiran Nabi Isa A.S dengan apa yang dipelajari dari agama asalnya telah menarik minat untuk lebih mendalami Al-Quran sehinggalah akhirnya dia memeluk Islam pada tahun 2010.
Walaupun mendapat tentangan hebat dari keluarga dan kedua orang tua, Jae Deen tetap meneruskan perjalanan hijrahnya.
Jae Deen telah mengambil subjek Kesusateraan Islam sewaktu di universiti dan banyak mendalami Islam dengan menghadiri kelas-kelas agama yang diadakan di Kanada.
Pada suatu ketika, Jae Deen merasa sangat sedih kerana dia tidak memahami apa yang dibacakan imam sewaktu solat tarawih dan mencemburui jemaah lain yang menangis ketika mendengar surah dibaca kerana memahaminya.
Sejak dari itu, Jae Deen telah bertekad mendalami bahasa Arab dan telah mengambil kelas Bahasa Arab Fusha (rasmi).
Bermula dari situ, dia telah memulakan usaha menulis ayat-ayat Al-Quran dan terjemahannya setiap hari bermula dari surah Al-Fatihah sehinggalah habis seluruh Al-Quran ke surah An-Nas.
"Pada mulanya, ia sangat sukar dan ada masa-masanya saya sangat kecewa dan hampir putus asa," ujar Jae Deen memceritakan pengalamannya cuba menulis ayat-ayat Al-Quran.
Akhirnya, dia berjaya juga menamatkan usahanya itu dalam tempoh enam bulan dan setiap hari, dia akan berkongsi gambar atau video usahanya itu di media sosial bagi menggalakkan remaja lain juga mendalami Al-Quran.
Atas sebab usaha, kegigihan dan pengalamannya dalam memahami dan menyebarkan kefahaman terhadap Al-Quran kepada remaja, Jae Deen telah dikurniakan anugerah 'The Quran Light of The People Award' dalam sebuah program konvensyen Islam terbesar di Amerika Utara iaitu MAS ICNA pada tahun 2018.
Jae Deen meneruskan lagi usahanya untuk mendalami bahasa Perancis pula dan mula belajar bahasa tersebut pada tahun 2017 dan menjadi fasih berbahasa Perancis setelah mendalaminya secara intensif selama empat bulan sahaja!
Kerana minatnya yang mendalam kepada bidang seni dan muzik, Jae Deen telah mengambil pendekatan menggabungkan mesej Islam yang hendak disampaikannya kepada remaja melalui karya muzik.
Lagu-lagu yang beliau hasilkan banyak menyentuh isu-isu berkaitan kehidupan Muslim di Amerika seperti isu hijab, perkauman, tekanan mental, wanita Islam dan lain-lain.
Kini, Jae Deen sedang giat mendalami Bahasa Melayu kerana bakal berkolaborasi dalam single baru bersama artis dari Malaysia.
Menurutnya, mempelajari Bahasa Melayu akan memudahkannya dalam urusan promosi dan meluaskan pengaruh muzik di Asia Tenggara khususnya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024