Hiburan
Dari Sukan Ke Layar Perak, Ini 5 Filem Yang Mengangkat Bola Sepak, Wajib Tonton!
Filem berunsurkan semangat kesukanan bukan baru dalam dunia perfileman global. Sama ada bergenre komedi, drama mahupun inspirasi, setiap kisah yang mengangkat tema bola sepak antara yang perlu diberi tumpuan.
Di sini Gempak senaraikan lima filem bertemakan sukan bola sepak yang wajib anda tonton minggu ini!
1. Ola Bola, 2015
Berlatarkan penghujung era 1970-an, filem Ola Bola diilhamkan daripada kisah benar yang menceritakan semangat juang pasukan bola sepak negara untuk bangkit daripada kekecewaan, sekali gus muncul wira negara.
Ola Bola yang diilhamkan dari peristiwa sebenar yang terjadi sebelum kejohanan Sukan Olimpik Moscow 1980 ini akan membawa penonton dari pelbagai bangsa untuk sama-sama merasai semangat bersatu hati dan muhibah. Kisah yang penuh ikhtibar ini akan membawa penonton melihat semangat, keunikan dan kekuatan yang terdapat dalam kepelbagaian bangsa di Malaysia.
2. Bend It Like Beckham, 2002
Filem bergenre drama komedi ini dibintangi oleh Parminder Nagra, Keira Knightly, Jonatahan Rhys Meyers dan ramai lagi. Ia berkisar tentang seorang gadis Punjabi yang menetap di London dan berbakat bermain bola sepak. Namun, ia mendapat tentangan dari keluarganya kerana dia seorang perempuan.
Dia akhirnya menyertai pasukan bola sepak perempuan tempatan di kawasan kejiranannya dan berusaha untuk ke puncak liga.
3. Shaolin Soccer, 2001
Shaolin Soccer merupakan filem komedi seni mempertahankan diri yang mencetuskan fenomena. Filem ini ditulis dan diarahkan sendiri oleh Stephen Chow yang juga watak utama dalam filem ini.
Mengisahkan seorang sami Shaolin bertemu kembali dengan lima sahabatnya, bertahun-tahun selepas kematian tok guru mereka. Mereka kemudian mengaplikasikan sentuhan kung fu Shaolin dalam permainan bola sepak untuk meraih kemenangan.
4. Fever Pitch, 1997
Filem ini berlatar belakangkan tahun 1988-1989, mengisahkan pasukan Arsenal memenangi kejuaraan First Divison mereka. Diadaptasi dari novel dengan tajuk yang sama oleh penulis Nick Hornby, ia berkisar tentang watak Paul Ashworth (Colin Firth) yang merupakan seorang cikgu di sebuah sekolah di utara London.
Cikgu Paul kemudiannya jatuh cinta dengan seorang cikgu baru dan naik turun hubungan cinta mereka pun turut sama terkesan dengan kedudukan Arsenal di dalam liga. Antara babak yang menarik dalam filem ini adalah saat Michael Thomas menjaringkan gol keatas Liverpool di minit terakhir permainan musim tersebut yang menjamin kejuaraan Arsenal di takhta liga.
5. Eye on The Ball, 2020
Filem Eye on The Ball menceritakan kisah suka duka pasukan ini yang melakar kemenangan di Sukan Para ASEAN 2017 untuk melayakkan diri ke kejohanan bola sepak cacat penglihatan dunia.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sekumpulan anak muda cacat penglihatan bertekad untuk menggapai impian menjadi pemain bola sepak profesional di pawagam tempatan bermula 19 Mac 2020.
Must-Watch Video