Hiburan
"Daripada Kita Duduk Lepak Tak Buat Apa .." - Nabila Huda Ajak Peminat Baca Al-Quran Ketika PKP
Aktres Nabila Huda memilih untuk mengisi masa terluang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan membaca Al-Quran yang diberi oleh ayahnya, penyanyi Amy Search.
Nabila atau lebih mesra dipanggil Abil mengajak semua peminatnya untuk membaca sehari satu muka surat di rumah.
"Saya dapat hadiah Al-Quran ni daripada papa dan mama.
"Daripada kita duduk lepak tak buat apa baik kita baca sama-sama mana tahu kita duduk rumah ni sampai raya.
"Tergeliat lidah apabila dah lama tak baca Al-Quran, satu hari kita baca satu muka surat mana tahu lama-lama khatam," katanya di Live Instagram pada Rabu.
Dalam pada itu, pemilik nama Nabila Huda Suhaimi mendedahkan dia sudah khatam Al-Quran sebanyak tiga kali.
"Saya sebenarnya sudah tiga kali khatam Al-Quran dengan nenek iaitu ibu Amy Search. Dulu dia guru mengaji saya.
"Jadi saya mengaji setiap hari dengan nenek sampai khatam," katanya lagi.
Selain Abil, pelakon Farah Nabilah dan pengacara Uyaina Arshad turut sama-sama membaca Al-Quran di Instagram (IG) masing-masing.
Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai Rabu (18 Mac) hingga 14 April 2020, di seluruh negara.
Malaysia terpaksa akur selepas kes COVID-19 kini mencecah 3,116 orang dengan 50 rekod kematian setakat 2 April.
Justeru, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan perkara yang boleh mencegah COVID-19!
Must-Watch Video