Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang arahan pengarah tersohor Mamat Khalid telah menemui penonton bermula 15 April yang lalu.

Sudah mencecah kutipan sebanyak RM3 juta dalam masa 10 hari tayangan di Astro First, ramai wargamaya memberikan pujian dan maklum balas positif terhadap filem bergenre komedi ini.

Menerusi laman sosial Facebook, wargamaya menyatakan pujiannya terhadap pemilihan pelakon bagi watak-watak yang menjayakan filem 18 Puasa Di Kampong Pisang ini.

“Bagus Mamat Khalid ni bagi peluang pada pelakon-pelakon lama berlakon filem dia. Daripada pengarah sekarang suka nak ambil instafmous yang ntah apa-apa janji bayaran murah. Lakonan haprak,” komen seorang wargamaya.

Malah, ada juga wargamaya yang memuji gabungan watak iblis yang mencuit hati.

“Patutlah Abang Mamat pilih pelakon macam ni, semua watak menjadi. Bukan apa, tak mau la tengok iblis kayu,” kata seorang wargamaya.

Filem ini masih mengekalkan pelakon Kampong Pisang Bersiri-siri antaranya Barkoba (Bell Ngasri), Pak Din (Kazar Saisi), Pak Karim (Mat London), Pak Jabit (Aziz M Osman), Cik Purnama (Dewa Sapri), Daud M (Joey Daud) Faguha Jabar (Rashid Othman), Ahmad Yasin (Ahmad Yasin) dan Yah Kuchei (Afea Deana).

Selain itu, filem ini turut dimeriahkan dengan penampilan karakter istimewa seperti Tyson 1 (Namron), Tyson 2 (Jaafar Onn), Kiambang (Siti Elizad Mohamad Sharifuddin), Ustaz Kazim (Datuk Ustaz Kazim), Ayahanda Rani Kulop (Rani Kulop), Manap Sengau (Yeop Hitler), Penjaga Neraka (Man Raja Lawak) dan ramai lagi.

Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang mengisahkan sekumpulan penduduk Kampong Pisang masih melakukan kemungkaran di bulan Ramadan.

Ketika Barkoba menikmati makanan di siang hari dalam semak samun, dia telah didatangi si iblis yang membawanya kembali ke masa silam untuk mengimbau setiap tindak tanduk kesalahan yang dilakukan sepanjang hidupnya.

Tonton filem komedi sarat mesej ini Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 mulai 15 April 2021.

Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.