Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) dan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) dengan bangganya melangkah ke musim konsert yang ke-22, musim 2020, mulai Januari ini dengan menampilkan artis-artis antarabangsa dari dunia muzik klasikal dan artis-artis terkemuka tanahair, melalui persembahan pelbagai genre muzik.

DFP dan MPO telah menyediakan program yang berinovatif pada musim kali ini sejajar dengan matlamat untuk mendekatkan jenama DFP dan MPO di hati segenap lapisan rakyat Malaysia.

Artis-artis legenda tempatan, Aishah dan Datuk M Nasir, akan berkolaborasi dengan MPO dalam konsert solo masing-masing pada bulan April dan Oktober nanti.

Sempena sambutan Hari Raya bulan Jun nanti, MPO akan mempersembahkan konsert bertemakan Senandung Lebaran yang menampilkan vokalis-vokalis hebat.

Konsert istimewa ini adalah sebuah penghargaan MPO untuk karya-karya komposer S Atan.

Konsert-konsert ini akan menyaksikan MPO memberikan suntikan simfonik kepada legasi lagu-lagu tempatan dan membawa karya ini ke penghayatan artistik yang lebih tinggi.

DFP juga akan menganjurkan konsert pelbagai genre muzik; kumpulan pop dan R&B Ruffedge akan mengadakan sebuah konsert solo pada Mac manakala Yayasan Warisan Johor akan mempersembahkan sebuah konsert bertemakan Malam Ritma Keroncong khas untuk peminat irama itu pada Oktober depan.

Orkestra Filharmonik Remaja Malaysia (MPYO) yang terkenal dengan genre muzik klasikal akan membuat kelainan pada musim kali ini dengan berkolaborasi dengan kumpulan jazz terkenal dari Indonesia, Krakatau pada Februari dan kumpulan indie tempatan Hujan pada Julai akan datang.

Musim konsert ini mengalu-alukan Kees Bakels sebagai ‘Konduktor Laureate’; beliau merupakan Pengarah Muzik pertama MPO dan merupakan tulang belakang penubuhan MPO pada tahun 1998. Dengan perlantikan ini, beliau akan membawa MPO ke tahap artistik yang lebih cemerlang.

Musim ini akan menyaksikan MPO terus menyajikan hanya yang terbaik dalam muzik klasikal dan membawa landskap seni hiburan ke peringkat lebih tinggi. MPO akan merayakan ulangtahun kelahiran Beethoven yang ke-250 dengan membawakan karya-karya agung beliau, berkolaborasi dengan, antaranya, pemain violin dari Amerika, Karen Gomyo, dan pemain piano tempatan Ng Chong Lim.

Musim ini menyaksikan MPO mempersembahkan Festival Ballet; ini merupakan kali keempat MPO mempersembahkan festival ballet ini selepas persembahan pada tahun 2013, 2016 dan 2018 yang mendapat sambutan hangat. Festival kali ini akan menyajikan karya-karya The Nutcracker dan Cinderella pada Jun nanti.

Mempamerkan versatiliti yang ampuh, MPO akan membawakan persembahan bertemakan Cirque de la Symphonie pada Februari nanti. Ini merupakan kesinambungan kepada persembahan Cirque pada tahun 2015 dan 2018 yang mendapat sambutan baik dari khalayak.

Musim ini menampilkan buat julung kalinya persembahan penyanyi soprano Fleur Barron, pemain piano Lukas Vondracek, dan pemain violin Marc Bouchkov dan Clara-Jumi Kang yang akan mempersonakan khalayak dengan bakat seni mereka.

Tokoh muzik klasikal yang akan kembali ke podium DFP pada musim ini termasuklah konduktor Fabio Mechetti, Roberto Gonzalez dan Junichi Hirokami. Turut kembali ke pentas DFP pada musim ini termasuklah pemain ‘flute’ Sharon Bezaly, pemain cello Istvan Vardai dan pemain ‘horn’ Radovan Vlatkovic. Duta Remaja MPO dan pemain piano Tengku Irfan juga kembali mengagumkan peminat muzik piano melalui konsert bersama MPO Jun depan.

MPO akan terus membawa keindahan muzik kepada golongan yang kurang bernasib baik khususnya dan rakyat Malaysia amnya, melalui Program Pendidikan & Luaran (ENCOUNTER), dan komited untuk memupuk apresiasi muzik di kalangan bakat muda tempatan menerusi MPYO.

Penjualan tiket sudah bermula dan musim ini juga memperkenalkan satu inisiatif baru iaitu ‘Friends of DFP’ yang memberi potongan harga dan keistimewaan lain.

Untuk sebarang pertanyaan, sila layari www.mpo.com.my atau hubungi Box Office di talian 03-23317007 atau e-mel menerusi [email protected].