Penyanyi lagu-lagu Nusantara, Datuk M. Nasir kini menjalani kuarantin kendiri di kediamannya selepas didapati menghidap COVID-19.

Perkhabaran tersebut disahkan sendiri oleh isteri beliau, Datin Marlia Musa.

“Ya benar, Datuk positif COVID-19. Datuk sekarang berada di rumah dan sedang menjalani proses kuarantin. Saya juga turut kuarantin sama,” katanya ketika dihubungi Gempak.

Dalam pada itu, Marlia turut memberitahu yang suaminya dikesan dijangkiti virus berkenaan selepas menjalani ujian sebanyak dua kali.

“Datuk buat home kit test pagi semalam kerana kebetulan dia sepatutnya ada program di Pesta Buku Selangor pukul 12.30 semalam.

“Result home kit positif. Kami terus buat PCR dan keputusan pagi ini turut positif,” katanya lagi.

Terbaharu, jangkitan COVID-19 di Malaysia menurun kepada angka 3,504 pada hari ini.