Hiburan

Datuk Rafiena Temui Keyakinan Selepas 9 Tahun

gempak
Kamaruddin Razal
17/03/2017
05:45 MYT
Sponsor Banner
Datuk Rafiena Temui Keyakinan Selepas 9 Tahun
Penerbit jelita Datuk Rafiena Ezanee Ramli menemui keyakinan untuk melahirkan filem pertama selepas sembilan tahun bergiat aktif dalam bidang penerbitan.
Pemilik syarikat produksi Darkwave Pictures ini berkolaborasi bersama Astro Shaw dalam menerbitkan filem baru yang berjudul Kimchi Untuk Awak.
"Walaupun sudah lama bergelut dalam bidang penerbitan drama bersiri dan telefilem, saya masih mencari kekuatan dan keyakinan untuk tampil bersama sebuah filem.
"Melihat naskah Kimchi Untuk Awak, saya rasakan keyakinan untuk menerbitkan filem itu hadir. Sudah tiba masanya untuk saya menimba sesuatu yang baru dan mencari pengalaman dalam lapangan yang belum pernah saya ceburi.
"Tambahan pula, syarikat produksi saya tidak bersendirian dan kami berkolaborasi dengan Astro Shaw yang memang sudah terkenal sebagai salah sebuah produksi penerbitan ternama di Malaysia," kata Rafiena kepada Astro Gempak.
Pernah terfikir untuk menerbitkan filem bertemakan seram sebagai buah tangan pertama, Rafiena meneliti selera penonton sebelum membuat sebarang keputusan.
"Sebelum ini, saya pernah terfikir untuk menerbitkan filem seram kerana Darkwave Pictures memang terkenal dengan drama bersiri seram. Namun begitu, saya mendapati yang selera penonton filem tidak sama dengan penonton drama.
"Saya menyimpan dahulu hasrat tersebut dan muncul dengan filem hasil adaptasi novel yang sememangnya mempunyai pengikut tersendiri," katanya lagi.
Kimchi Untuk Awak membariskan nama popular seperti Emma Maembong, Aiman Hakim Ridza, Janna Nick dan ramai lagi.
Filem arahan sulung Michael Ang ini diterbitkan oleh Astro Shaw dan Darkwave Pictures ini akan menemui penonton pada 30 Mac 2017.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live