Berasakan sesuatu yang janggal dan tidak kena dengan operasi Terengganu Investment Authority dan 1MDB, Datuk Seri Nazir Tun Razak mengambil keputusan untuk menentangnya secara terbuka.

Biarpun keputusan dan penentangan secara terbuka itu, menyebabkan abangnya yang juga Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berpuas hati dan hubungan mereka menjadi renggang.

Namun, bagi Nazir, apa yang lebih penting ialah legasi dan nama baik ayahandanya, Allahyarham Tun Abdul Razak perlu dijaga sebaik mungkin, sebelum terus tercemar dan tercatat dalam lipatan sejarah Malaysia.

“Saya risau dan syak abang saya, Najib, telah dikawal oleh penasihat dan rakan kongsi yang tidak bertanggungjawab dan akhirnya mencemarkan nama baik ayahanda saya,” katanya seperti dipetik dalam memoirnya ‘What’s in a Name’ yang bakal dilancarkan 8 November ini.

Dalam memoir setebal 358 muka surat itu, Nazir memperihalkan bagaimana beliau dan keluarganya diserang, dilontarkan fitnah dan tohmahan yang Najib mengakui berkemungkinan datang dari kem bekas Presiden UMNO itu sendiri.

Malah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, seperti diceritakan semula Nazir dalam buku tersebut, secara terbuka memberi amaran kepada beliau untuk berhenti mempersoalkan tindakan suaminya itu.

Semuanya kerana Nazir dan rakannya, Tong Kooi Ong dari The Edge Group melakukan siasatan ke atas operasi 1MDB, berjumpa dengan orang-orang berpengaruh termasuk Majlis Raja-raja, tokoh korporat, malah dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri.

Bagi Nazir, yang salah tetap salah, biarpun ia mempunyai risiko untuk merenggangkan hubungan pertalian darah antara beliau dan Najib,serta berkemungkinan besar melukakan hati bonda mereka, Allahyarhamah Tun Rahah Noah.

Semua pendedahan itu terkandung dalam bab yang dikhaskan untuk 1MDB.

Sumber: Awani