Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyambut ulangtahun ke- 25 dalam industri muzik hari ini.

Sempena hari berkenaan, Siti menghadiahkan sesuatu yang istimewa dengan melancarkan album lagu kanak-kanak berjudul Legasi.

Menurut Siti, penerbitan album kanak-kanak ini merupakan usaha bagi melestarikan lagu kanak-kanak klasik supaya terus diingati dan menjadi warisan generasi akan datang.

Selain itu, sebagai penyanyi yang telah bergelar ibu, Siti berpendapat lagu atau muzik kanak-kanak mempunyai impak positif bagi membantu perkembangan dan pembelajaran.

“Apa yang penting adalah mesej yang kita sampaikan di dalam sesebuah lagu . Anak-anak ini akan cepat belajar dan memahami, justeru dalam lirik lagu kanak-kanak termasuk olahan lirik terbaharu, saya memberikan mesej yang baik serta berguna,’’ ujarnya

Tambah Siti lagi, dia berharap agar album Legasi tidak disamakan dengan album komersil beliau yang lain.

“Saya tetap mengutamakan kualiti muzik, bunyi dan gubahan yang baik dalam sesebuah lagu dan album Legasi mempunyai keseronokan yang tersendiri sewaktu di dalam studio.

“Apa yang penting, saya sangat berpuas hati dengan hasil kerja dan usaha yang dibuat oleh Pown Hasril selaku penerbit bersama pasukan kerjanya,’’ katanya.

Penerbitan sebuah album komersil pasti tidak sama dengan album kanak-kanak yang lebih santai dan tentunya berbeza dalam banyak aspek serta pemilihan.

Namun apabila mendengar album ini, Siti yakin usahanya tidak sia-sia kerana Legasi menampilkan keistimewaan yang tersendiri.

Siti juga sempat menyiapkan dua buah video sebelum berehat untuk persediaan melahirkan dan berpantang.

Single Medley Klasik Siti 1 merupakan lagu kanak-kanak yang sering dinyanyikan oleh Siti bersama rakan-rakan sewaktu tinggal di berek polis di Kuala Lipis, Pahang.

Nostalgia puluhan tahun lalu diabadikan oleh beliau di dalam sebuah lagu dan berharap agar anakanda Siti Aafiyah mengenal lagu kanak-kanak zaman beliau dahulu.


Album terbitan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd diterbitkan secara digital dan juga album fizikal.

Bermula 1 April (hari ini), para pencinta muzik dan peminat boleh mendapatkan album penuh di seluruh platform digital dan pihak SNP memberikan kepercayaan kepada syarikat Universal Music Sdn. Bhd sebagai pengedar.

Manakala album fizikal atau CD pula boleh dilanggan di platform snp.onpay.my atau menerusi Affiliate SNP yang sah.

Bagi penerbitan album yang ini, Siti telah memberi kepercayaan kepada penerbit muda, Pown Hasril bagi memberikan sentuhan baru dan segar untuk keseluruhan lagu yang ditampilkan.

Video muzik lagu Medley Klasik Siti 1 akan dilancarkan pada jam 9 malam, 1 April di saluran youtube Siti Nurhaliza. Video muzik ini mendapat kerjasama daripada syarikat Beausiti dan Wonderlab.

Sebuah lagi video muzik ialah menerusi lagu ciptaan Siti untuk anakanda yang bakal lahir yang diberi judul Anakanda.

Video muzik untuk lagu ini mendapat tajaan syarikat Cuckoo dan akan dilancarkan pada bulan April juga.

Album Legasi mengandungi 7 buah lagu dan mempunyai 10 buah track termasuk interlud. Di dalam album ini, Siti turut menghasilkan sebuah lagu buat anak yang bakal dilahirkan yang diberi judul Anakanda.

Sebuah lagi lagu ciptaannya sebelum ini iaitu Comel Pipi Merah turut dimuatkan di dalam album ini.

Lain-lain lagu adalah Anakku Sayangku (lagu asal Anakku Sazali), Medley Klasik Siti 2, Bintang Kecil dan Burung Kakak Tua.