Pelakon Hollywood terkenal Keanu Reeves menjadi rebutan dua jenama superhero popular, DC Comics dan Marvel untuk berlakon dalam filem mereka.

Memetik laporan Cosmic Book News, Warner Bros dan DC Comics mahu melihat Keanu memegang watak Constantine, watak yang pernah dipegangnya hampir 15 tahun yang lalu.

Manakala bagi Marvel, nama Keanu kerap disebut untuk membawakan watak hebat antaranya Namor, Silver Surfer atau Reed Richards di dalam Fantastic Four, Adam Warlock menerusi Guardians of the Galaxy, Moon Knight dan juga Wolverine.

Malah, presiden Marvel Studios Kevin Feige telah mengesahkan dia mahu Keanu untuk ada dalam mana-mana Marvel Cinematic Universe (MCU) malah bersedia untuk mencari watak yang sesuai untuk pelakon filem John Wick itu.

Selain filem adiwira tersebut, Warner Bros bersetuju untuk menghasilkan filem Matrix keempat serta memujuk Keanu untuk kembali menerusi filem Constantine.

Namun setakat ini, jurucakap Keanu masih belum membuat sebarang kenyataan rasmi sama ada franchais DC Comics atau Marvel menjadi pilihannya.

Terdahulu, nama Keanu telah disebut bakal menyertai Angelina Jolie dalam filem Marvel Studios, The Externals.