Hiburan

Chacha Maembong Dedah Pernah Alami Gangguan Mistik - “Saya Tak Nak Tahu Siapa Yang Hantar”

gempak
Ainun
02/02/2025
07:55 MYT
Sponsor Banner
Chacha Maembong Dedah Pernah Alami Gangguan Mistik - “Saya Tak Nak Tahu Siapa Yang Hantar”
Pelakon Chacha Maembong mengakui dirinya pernah mengalami gangguan dan terkena perbuatan tidak baik daripada pihak lain.

Sentuhan fizikal, makanan dan tempat

Menurut Chacha, atau nama sebenarnya Siti Aishah Ismail, 28, kejadian itu mungkin berlaku akibat sentuhan fizikal, dihantar melalui makanan, atau disebabkan oleh tempat yang perlu dikunjunginya untuk bekerja.
Namun, pelakon itu memilih untuk tidak mengetahui siapa yang bertanggungjawab atas perbuatan tersebut dan hanya fokus untuk kembali sembuh seperti sedia kala.
"Pernah lah mereka hantar benda itu melalui makanan, atau mungkin dari tempat tertentu, atau mungkin juga mereka menyentuh saya untuk menghantar benda itu.

"Jadi, bila saya berjumpa dengan ustaz, saya mengambil pendekatan untuk tidak mahu ambil tahu siapa yang menghantar kepada saya. Saya cuma mahu sihat sahaja.

"Ustaz saya juga tidak memberitahu saya siapa yang menghantar benda itu. Ustaz hanya berkata, biarlah orang buat kepada kita, janganlah kita buat semula kepada mereka.
"Jadi, saya hanya mahu menyihatkan diri saya, kembali bekerja, dan membantu keluarga sahaja," katanya kepada Gempak.
Chacha berkata demikian ketika menghadiri tayangan perdana filem Limbungan: Tragedi Hitam 1975 yang berlangsung di The Starling Mall, Petaling Jaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

BERITA BERKAITAN: “Mungkin Orang Luar Tak Suka Dia Atau Dengki…” - Chacha Maembong Pertahankan Kakak, Nafi Emma Dah Kahwin Dengan DJ

BERITA BERKAITAN: Enggan Ulang Kesilapan Lama, Chacha Maembong Hanya Kongsi Kisah Cinta Bila Tiba Masa Sesuai - “Kalau Tak Jadi Kahwin Nanti…”

Pengalaman terkena gangguan mistik

Dalam pada itu, adik kepada Emma Maembong itu juga turut berkongsi pengalamannya ketika berdepan dengan gangguan mistik sehingga menjejaskan semangat dan motivasinya untuk bekerja.
"Pernah juga perkara ini mengganggu saya sampai saya bangun pagi dan terasa seperti tidak mahu pergi ke set penggambaran untuk berlakon.
"Saya sebenarnya percaya, apabila kita melakukan sesuatu pekerjaan dengan ikhlas, barulah pintu rezeki akan terbuka untuk kita. Tapi, bila perkara ini berlaku, saya sendiri rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan saya.

"Saya bukannya mahu memikirkan tentang gangguan mistik sepanjang masa. Mungkin juga saya terlalu penat bekerja, atau kadangkala tekanan mental akibat kerja boleh menyebabkan perkara ini berlaku.

"Seperti yang saya katakan, saya hanya mahu berfikiran positif dan sentiasa berselawat untuk melindungi diri saya. Saya rasa itu adalah cara terbaik untuk membantu diri saya kembali kuat seperti biasa," kongsinya.

Tidak berkongsi kepada orang luar

Pada masa sama, pelakon itu turut berkata ustaz yang sering merawatnya ada memberitahu bahawa memang terdapat individu yang cuba menghantar makhluk halus kepada dirinya.
Namun, dia memilih untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak mahu berkongsi perkara ini secara terbuka kerana menganggapnya sebagai sesuatu yang sensitif.

"Ustaz ada juga memberitahu saya bahawa ada sesuatu pada diri saya, tapi saya takut sedikit untuk berkongsi kepada orang ramai sebab bagi saya, perkara ini sangat sensitif. Kita tak tahu bagaimana reaksi orang di luar sana.

"Bagi saya, perkara ini sangat sensitif untuk diceritakan, tetapi apa yang saya boleh katakan adalah saya pernah menghadapi gangguan mistik dan saya perlu mengambil langkah berjaga-jaga," jelasnya.

BERITA BERKAITAN: Pernah Disihir & Bisnes Restoran Kena ‘Buatan Orang’, Illa Sabry Tak Patah Semangat – “Teruk Sangat Sampai Saya Reda Jika Meninggal Ketika Itu”

BERITA BERKIATAN: Ropie Dedah Kisah Diganggu Di Set Penggambaran Filem Don Dukun – “Meremang Satu Badan, Saya Terus Lari”

Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024