Ingin seiring dengan syarikat perkhidmatan penghantaran berjenama antarabangsa, syarikat Tapaw Groups Sdn. Bhd mementingkan kualiti dalam memberikan layanan terbaik termasuk aspek kemahiran kepimpinan, penjenamaan peribadi dan imej.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Anuar A Rahman berkata Tapaw menjaga kualiti perkhidmatan serta menitikberatkan kebajikan pemandu bagi meyakinkan pelanggan untuk terus menggunakan perkhidmatan daripada syarikat itu.

"Baharu sahaja empat bulan beroperasi dengan kini mempunyai hampir 100,000 kenderaan berdaftar dengan Tapaw di seluruh negara, bagi saya perkhidmatan Tapaw boleh dikatakan antara yang laju berkembang walaupun sangat baharu.

"Maka amat penting untuk kami menjaga kualiti dalam memberikan perkhidmatan terbaik termasuk menjaga kebajikan semua pemandu kami.

"Disebabkan itu, kami menyediakan kursus khas buat semua rakan niaga di samping memberi pendedahan lebih luas dan komprehensif terutama mengenai pelan strategi dan hala tuju syarikat bagi mewakili syarikat dalam membantu rakan logistik pemandu, peniaga Industri Kecil dan Sederhana (IKS) termasuk pengguna aplikasi Tapaw," katanya.



Dalam pada itu, syarikat tersebut juga menawarkan peluang perniagaan kepada 50,000 peniaga untuk berniaga di platform digital Tapaw Mall yang akan dilancarkan pada pertengahan April ini.

Tambah Anuar, penyediaan platform 'Logistik Pintar' dan penghantaran pantas ini tentunya akan memberi manfaat kepada pemain industri IKS di samping menyokong inisiatif kerajaan dalam usaha mentranformasikan perniagaan ke arah digital.

"Ini juga disasarkan kepada semua komuniti di seluruh negara terutamanya mereka yang terjejas dengan pandemik Covid-19 dan menerusi Tapaw, mereka boleh menjana pendapatan tambahan," katanya lagi.

Aplikasi Tapaw merupakan platform yang menyediakan perkhidmatan logistik dan penghantaran pantas dan meluas dengan pelbagai jenis kenderaan yang beroperasi di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, di bandar dan juga di luar bandar.

Komuniti masyarakat berpeluang menjadi sebahagian daripada Tapaw sebagai pemandu, rakan logistik, peniaga dan juga pengguna dengan membuat pendaftaran secara percuma di laman web tapaw.com dan muat turun aplikasi Tapaw di Apps Store dan Google Play Store.