Hiburan
Demi Konsert 5 Divo, Hafiz Suip Ambil Kelas Vokal
Penyanyi Hafiz Suip akui mengambil kelas vokal sebagai persiapannya untuk Konsert 5 Divo akan berlangsung pada 13 Februari depan.
Menurut Hafiz, dia bukanlah seorang yang sempurna dan masih lagi memerlukan bimbingan untuk memperbaiki mutu nyanyiannya.
“Untuk konsert ini saya kembali belajar vokal dengan cikgu Shafi untuk memperbetulkan teknik nyanyian.
“Tambahan pula saya akan berdepan dengan Hazama, Judika, Afgan dan Taufik Batisah di mana mereka boleh dikatakan antara penyanyi yang mempunyai vokal terbaik.
“Siapalah saya jika nak dibandingkan dengan mereka, oleh itu saya ambil inisiatif untuk masuk kelas vokal sebagai langkah persediaan.
“Lagipun tak salah untuk terus belajar, sekurang-kurangnya dapat memperbaiki kelemahan dan juga teknik vokal dengan betul,” katanya kepada Astro Gempak.
Hafiz juga turut memberitahu walaupun agak gementar untuk berkongsi pentas bersama Judika, Afgan dan Taufik namun peluang keemasan seperti ini tidak akan disia-siakan.
“Ini merupakan pengalaman baru dan saya juga berterima kasih kepada pihak penganjur kerana beri peluang dan meletakkan kepercayaan kepada saya untuk turut serta dalam konsert 5 divo.
“Konsert ini juga agak berlainan kerana kami akan menyanyikan lagu artis yang terlibat dan bukannya lagu sendiri.
“Ia juga merupakan cabaran besar buat diri saya kerana jika menyanyikan lagu sendiri kita sudah tahu selok-belok lagu itu. Tetapi kalau menyanyi lagu orang, kita harus belajar dan mendalami lagu tersebut terlebih dahulu.
“Bukan senang untuk berjumpa dan berkongsi pengalaman dengan mereka. Saya sendiri teruja dan tak dapat nak bayangkan apa yang akan terjadi sewaktu konsert itu berlangsung.” ujarnya.
Konsert 5 Divo bakal menyaksikan gabungan penyanyi terkenal tiga buah negara iaitu Hafiz (Malaysia), Hazama (Malaysia), Afgan (Indonesia), Judika (Indonesia) dan Taufik Batisah (Singapura) membuat persembahan di bawah pimpinan pengarah muzik, Datuk Ramli MS.
Konsert anjuran syarikat Laugh Out Loud Entertainment yang mendapat kerjasama daripada Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia itu akan berlangsung pada 13 Februari 2016.
Tiket telah pun dijual pada 28 Disember 2015 dan boleh dibeli menerusi www.ticketpro.com.my.
Harga-harga tiket yang ditawarkan adalah RM 1188, RM988, RM888, RM588, RM388, RM188 dan RM128.
Teks Oleh: Mya Amri
Must-Watch Video