Penulis skrip filem komedi Kalut Nak Kahwin, Aloy Paradoks mendedahkan cabaran terbesar buatnya adalah dia perlu memastikan keinginan tuan pengarah, Yusuf Yunus dapat dipenuhi.

Jelas Aloy, semangat yang ada pada Yusuf ternyata lain berbanding pengarah sedia ada disebabkan ‘jiwa muda’ yang ada dalam diri Yusuf.

“Cabaran terbesar saya sebagai penulis adalah untuk memuaskan pengarah, sebab pengarah yang saya bekerjasama ini adalah seorang yang masih muda.

“Apabila bekerjasama dengan pengarah muda, dia punyai semangat berkobar yang lain berbanding pengarah yang sudah saya kenali.

“Macam Yusuf, dia ingin tunjuk apa yang dia ada. Jadi itulah cabaran untuk saya iaitu penuhi keinginan dia,” katanya kepada Gempak.

Selain bertindak sebagai penulis skrip, Aloy turut membintangi Kalut Nak Kahwin dengan memegang watak sebagai Sulaiman iaitu kawan kepada Mustaqim yang dilakonkan oleh Amerul Affendi.

Tambah Aloy, biarpun berasa sedikit kecewa disebabkan berlaku perubahan pada idea asal, namun dia tetap berpuas hati dengan hasil akhir Kalut Nak Kahwin.

“Beberapa draf idea yang terpaksa diubah, idea asal yang saya tulis dibentangkan kepada pengarah, dia tidak mahu idea itu, dia nak jalan cerita ke arah yang dia inginkan, lalu kami (penulis skrip, pengarah dan penerbit) sepakat untuk ubah.

“Walaupun dalam hati geram haha, tapi sebenarnya saya setuju dengan idea yang kedua itu, sebabnya lebih seronok dan menghiburkan.

“Saya dengan rela hati, ketepikan skrip yang saya sudah buat, saya buat balik daripada bawah, meskipun nak ubah skrip tu bukanlah satu kerja yang senang.

“Tambah lagi, idea untuk menulis skrip bagi naskah ini hampir setengah tahun juga ya,” ujarnya.

A post shared by Astro Shaw Sdn Bhd (@astroshaw)

Kalut Nak Kahwin mengisahkan keadaan hari majlis pernikahan dan persadingan Munirah yang menjadi kalut apabila Kawasan flat kediamananya mengalami gangguan air. Sebagai anak sulung, Mustakim berusaha menyelesaikan masalah dan memastikan hari Bahagia adiknya dapat diteruskan.

Selain masalah air, banyak hal lain berlaku seperti insiden kebakaran, tok kadi yang mempunyai urusan lain dan pelamin yang tidak sempat siap. Di atas semangat kejiranan, semua penduduk flat cuba membantu walaupun semuanya dalam keadaan kalut.

Kalut Nak Kahwin kini sudah mula ditayangkan di pawagam rumah anda bermula 4 Ogos menerusi saluran Astro First (480). Langgan sekarang untuk menyaksikan lebih banyak filem menarik.